Malaysia Dateline

Teliti salah laku pembelian aset, pelaburan FGV

Saya mengikuti secara dekat perjalanan persidangan parlimen terutamanya berkenaan Felda. Terima kasih kepada Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias atas soalan yang menunjukkan keprihatinan YB kepada warga Felda.

Tahniah diucapkan kepada YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Sri Mustapa Mohamed atas jawapan yang diberikan. Saya memulakan 2 perkara yang tidak disentuh oleh YB Menteri di mana 2 pekara ini adalah amat penting dalam langkah pemulihan FELDA.

Jawapan YB Menteri tidak menyentuh status laporan kajian forensik bagi pembelian aset dan pelaburan yang dinyatakan dalam Kerta Putih Felda. Pihak Pengurusan FELDA telah membuat laporan polis ke atas Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Isa Samad dan ahli perniagaan Indonesia, Tan Sri Peter Sondakh.

Laporan kedua pula bagi meminta polis membuka semula kertas siasatan berhubung penipuan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di tanah milik FELDA seluas lapan hektar di Jalan Semarak di sini, yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai tiada siasatan susulan (NFA).

Menerusi laporan polis itu, FELDA mendakwa wujud fakta dan dokumen menunjukkan kesalahan jenayah dilakukan beberapa individu, antaranya Mohd Isa dan pemilik Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB), Datuk Abdul Rahman Soltan dan Datuk Noraini Soltan.

Skandal FELDA: Mohamed Azmin sahkan lebih banyak laporan polis akan dibuat
https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/node/551356/amp

Felda dakwa ditipu Najib Razak
https://www.google.com/amp/www.astroawani.com/berita-malaysia/felda-dakwa-ditipu-najib-razak-203859%3famp=1

2. Perkara utama dalam Langkah pemulihan FELDA yang YB Menteri perlu tekankan adalah mengambil alih semula ladang dan kilang yang telah dipajakkan kepada FGVHB bagi tujuan penyenaraian ke bursa saham.

Kilang dan ladang ini adalah “lombong emas” sebenar bagi FELDA dan warganya yang mampu melestari pendapatan dan ekonomi sebagaimana FELDA mampu berdikari sebelum ia disenaraikan kebursa saham.

FELDA ketika ini memiliki 33.6 % pegangan dalam FGV. Jika FELDA meningkatkan penguasaan dengan ambil alih pegangan Urus Harta Jemaah anak syarikat Kementerian Kewangan (7.78%), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (6.62%) serta Koperasi Permodalan FELDA (5.2%), ia telah pun mencapai 53.2 % pegangan.

Mungkin juga terdapat mekanisme lain bagi menjayakan penambilalihan ladang dan kilang tersebut kepada FELDA. Kerajaan mempunyai pegangan “golden share” yang mempunyai kuasa dalam menentukan samada ia boleh mengembalikan ladang dan kilang kepada FELDA.

YB Menteri menjelaskan Kertas Putih FELDA yang dibentangkan pada 10 April 2029 oleh mantan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali, telah menggariskan pelbagai strategi untuk dilaksanakan dalam tempoh jangka pendek, sederhana dan jangka panjang. Antara strategi utama yang telah dan sedang dilaksanakan adalah:

i. menambah baik tadbir urus korporat,
ii. menangani masalah aliran tunai,
iii. rasionalisasi pelaburan dan kepentingan,
iv. memperkasakan peneroka,
v. memperkukuhkan sistem perakaunan
vi. meningkatkan penglibatan dalam aktiviti hiliran.

YB Menteri juga menyatakan bahawa pelaksanaan kesemua strategi tersebut disokong melalui peruntukan kewangan termasuk juga pemberian jaminan kerajaan berjumlah RM6.23 bilion yang diberikan dalam tempoh empat tahun. Peruntukan tersebut terdiri daripada :

i. Program Pembangunan Peneroka bagi mendapatkan hasil baharu. (RM1 bilion),

ii. penyiapan projek terbengkalai Perumahan Generasi Baharu FELDA atau PGBF (RM250 juta)

iii. penghapusan faedah hutang kebun peneroka (RM2 bilion),
iv. pemberian pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil kepada peneroka (RM480 juta)

v. pemberian jaminan ke atas penstrukturan semula pinjaman FELDA (RM2.5 bilion)

Program Pembangunan Peneroka bagi mendapatkan hasil baharu ataupun PPP, FELDA telah melaksanakan projek rintis di FELDA Bukit Rokan, Negeri Sembilan di atas tanah seluas 77 ekar.

Lebih daripada 300 orang peserta peneroka terlibat dalam program ini yang melibatkan aktiviti penanaman sayur dan cili secara fertigasi, penternakan arnab pedaging dan penanaman cendawan.

Pelaksanaan program PPP ini dirancangan akan diperluaskan kepada program lembu pedaging, tanaman herba, tanaman kacang dan juga tanaman roselle dirancangan berikut:

i. FELDA Bukit Aping Barat Kota Tinggi Johor,
ii. FELDA Semenchu Kota Tinggi Johor,
iii. FELDA Cuping, Perlis,
iv. FELDA Kerteh 6, Terengganu
v. FELDA Keratong 7, Pahang dan FELDA Sahabat di Sabah.

Program Perumahan Generasi Baharu FELDA atau PGBF yang terbengkalai dengan peratus siap 70 peratus keatas diberi perhatian utama bagi menyiapkan rumah tersebut.
Daripada 4,794 unit kediaman di 20 buah lokasi yang telah melepasi tahap siap 70 peratus, sebanyak 2,058 buah unit di 10 lokasi telah siap dibina dan telah pun dapat sijil perakuan siap dan pematuhan atau CCC.

Baki 2,020 buah unit kediaman di enam lokasi dijadualkan siap menjelang hujung tahun ini serta 716 buah unit kediaman di empat lokasi di jadual disiapkan tahun depan.

YB Menteri juga memaklumkan FELDA telah memuktamadkan lebih 20,000 daripada 78,000 penyata hutang peneroka yang terlibat dengan program tanam semula. Proses memuktamadkan penyata ini akan siap pada September tahun ini.

Bagi sara hidup dan pendahuluan hasil kepada peneroka, kerajaan telah pun menyalurkan peruntukan sebanyak RM480 juta kepada FELDA. FELDA juga sedang berunding dengan Kementerian Kewangan bagi penerbitan sukuk berjaminan kerajaan untuk melaksanakan penstrukturan semula pencarum FELDA.

Kerajaan telah menubuhkan pasukan khas yang dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Wahid Omar bagi mencari kaedah terbaik memastikan kemandirian dan kemapanan kewangan FELDA untuk manfaat warga peneroka.

Pasukan ini telah mengadakan sesi libat urus dengan Lembaga Pengarah FELDA, pengurusan kanan, FGV, wakil-wakil peneroka dan pelbagai pihak berkepentingan lain. Pasukan ini dijangka akan membentangkan hasil laporannya pada awal bulan Ogos 2020.

Saya melihat banyak perkara yang dinyatakan oleh YB Menteri adalah ulang siar apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

* Penulis merupakan Generasi kedua FELDA Sungai Sibol dan generasi ketiga FELDA Bukit Serampang.