Tema Kestabilan dan Kemakmuran hanyalah tipu daya

Oleh ARIF ATAN

Selari dengan keadaan politik negara yang tidak stabil sejak berlakunya Langkah Sheraton, BN dalam PRU15 kali ini menawarkan tema Kestabilan dan Kemakmuran untuk memikat hati pengundi.

Digembar-gembarkan kononnya hanya BN yang mampu memberi kestabilan dan kemakmuran kepada negara ini, seterusnya harus diberikan undi untuk dijadikan kerajaan.

Betulkah begitu?

Jika kita perhatikan, meskipun setelah kerusi Perdana Menteri jatuh ke tangan BN selepas Umno berjaya menjatuhkan Mahiaddin Md Yasin, gabungan itu tidak pernah stabil dan makmur keadaannya.

Tidak lama selepas Ismail Sabri Yaakob memegang jawatan Perdana Menteri, gabungan itu mula kecoh dengan desakan tidak henti-henti agar Parlimen dibubarkan dengan segera.

Dua kluster yang bertelagah dalam Umno saling menuding jari dan mempertahankan pendirian masing-masing sama ada PRU15 perlu diawalkan atau dilewatkan.

Walaupun desakan mengawalkan PRU15 akhirnya menemui kejayaan, tetapi ia bukanlah diputuskan dalam keadaan yang stabil dan makmur.

Mengawalkan PRU15 adalah kejayaan kluster mahkamah menewaskan kluster Kabinet dan bukan lambang kejayaan Umno secara keseluruhannya.

Ismail Sabri boleh dikata dalam keadaan terpaksa berhubung pembubaran Parlimen itu dan jika tiada paksaan atau tekanan daripada Umno, beliau tentunya lebih selesa bertahan di Putrajaya sehingga habis penggal iaitu Jun tahun depan.

Kemudian, dalam penentuan calon baru-baru ini, sekali lagi BN gagal menampakkan kestabilan dan kemakmurannya.

Bukan saja ramai calon berjawatan menteri dan timbalan menteri digugurkan secara mengejut dan tidak berhemah sampai keadaan jadi huru-hara dan sehingga ada yang memilih bertanding atas tiket PN dan Bebas, sebuah parti komponennya MIC juga hampir menarik diri daripada bertanding.

Yang nyata, sebagaimana pengakuan Shahidan Kassim dan Noh Omar yang digugurkan sebagai calon, suara Top 5 Umno telah tidak diambil kira dalam pemilihan calon BN kali ini.

Nama yang dipersetujui oleh Top 5 sebagai calon, senang-senang saja dicantas oleh Presiden Umno melalui kuasanya sendiri.

Stabil dan makmurkah BN jika Presiden Umno tidak menghormati suara orang lain, tambahan lagi dalam Top 5 itu sendiri ada Perdana Menteri yang telah dinamakan sebagai poster boy?

Secara terlindungnya, walaupun menjaja tema kestabilan dan kemakmuran, Zahid Hamidi nampaknya mahu meletakkan Ismail Sabri dalam keadaan terus tidak stabil dan tidak makmur melalui pemilihan calon ini.

Sementara orang-orang Ismail Sabri dipotong dan dicantas, mereka yang pro kepada Presiden pula diangkat sebagai calon dan ini menjadikan kestabilan dan kemakmuran lebih sukar dijadikan kenyataan selepas keputusan pada 19 November nanti.

Sepatutnya, sesuai dengan tema kestabilan dan kemakmuran yang dijaja itu, tambahan lagi Ismail Sabri telah dipersetujui sebagai poster boy BN, kedudukan beliau lebih diperkukuhkan lagi dari segi kestabilan dan kemakmurannya, tidak saja berkaitan pemilihan calon, bahkan sebagai paparan kepada rakyat selepas keputusan PRU15 diumumkan.

Malangnya, apa yang berlaku ialah kedudukan Perdana Menteri tidak dijadikan lebih stabil dan lebih makmur berbanding Presiden Umno yang dilihat cuba menambahkukuhkan kestabilan serta kemakmuran kedudukannya sendiri semata-mata.

Mudah cerita, tema Kestabilan dan Kemakmuran itu hanyalah sekadar tipu daya yang tidak mampu menjanjikan sebarang kestabilan dan kemakmuran kepada negara.

Bagaimana mahu mewujudkan kestabilan dan kemakmuran jika sejak awal lagi terlihat banyak ciri-ciri ketidakstabilan dan ketidakmakmuran terbentang di depan mata?

Yang penting, kita sebagai pengundi jangan sesekali terperdaya.

Baca juga Pas tak mampu lahirkan menteri berwibawa

Baca juga “I derhaka ke?” – Lelaki jijik dapat tahu ibu jual diri untuk besarkan anak