Tema ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih harus disambut gilang gemilang

Tema ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih harus disambut gilang gemilang
Alan Oh bersama pimpinan belia di Parlimen Bagan.

Sambutan hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos ini yang bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih’ seharusnya disambut dengan gilang gemilang kata, Ketua Cabang PKR Bagan, Alan Oh.

Jelasnya lagi, bagi merealisasikan aspirasi ini semua golongan masyarakat tanpa membezakan perbezaan kaum, agama maupun ideologi politik harus meraikannya secara total.

“Pelbagai kenyataan yang berbaur perkauman hendaklah dihindari oleh semua golongan masyarakat bagi merealisasikan aspirasi ini.

“Ini termasuklah segala kritikan dan komen dari pimpinan komponen PH harus tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum dan agama.

“Kadangkala kita lupa dan alpa bahawa kita sebenarnya adalah kerajaan yang sedang memerintah dan bukannya pembangkang yang senantiasa membangkang seperti dulu lagi, ” tegasnya.

Katanya Malaysia yang telah lama terbentuk dan sepatutnya semua pimpinan tanpa mengambil kira ianya dari kerajaan ataupun oposisi memainkan peranan penting dan lebih matang dalam isu melibatkan kaum dan agama.

“Kegagalan memelihara keharmonian dan kedamaian semasa kerajaan di pimpin oleh PH akan mencemarkan kedamaian sedia ada sehingga mampu memporak-perandakan masyarakatr dan juga negara.

“Negara yang tercinta ini adalah milik kita semua dan harus ada usaha yang terbaik bagi memastikan keharmonian terpelihara dan bukannya mengapi-apikan isu perkauman.

“Perlu diingatkan bahawa setiap kaum mempunyai peranan tersendiri dan sumbangan yang tidak dapat dinafikan demi pembangunan negara, ” ujarnya.

Rentetan itu kata Alan, tiada istilah ‘pendatang’ ataupun ‘tetamu’ bagi semua kaum yang ada dalam negara ini.

Oleh kerana itu sarannya, bagi meraikan sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos ini semua golongan masyarakat harus menyambut tarikh keramat tersebut dengan penuh kegembiraan dan menghayati keperitan pejuang-pejuang terdahulu yang telah sanggup berkorban jiwa dan raga mereka sehinggalah nikmat kemerdekaan dapat dikecapi sehingga kini.