Tembakan rambang: Mujahid zahirkan rasa dukacita, takziah kepada ahli keluarga mangsa

Tembakan rambang:  Mujahid zahirkan rasa dukacita, takziah kepada ahli keluarga mangsa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf menzahirkan rasa dukacita ke atas serangan tembakan rambang di dua buah masjid di Chrischurch, New Zealand hari ini.

Tembakan yang dilakukan ketika umat Islam sedang beribadah sehingga menyebabkan kematian 30 individu adalah amat dikesali.

Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf

“Saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan mendoakan agar mangsa beroleh syahid yang tertinggi.

“Saya mendoakan agar umat Islam di sana serta diseluruh dunia dilindungi Allah SWT dan dijauhkan daripada segala bahaya dan ancaman seperti ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memetik sepotong ayat al- quran daripada surah al-Baqarah:114 yang bermaksud:“Lalu, siapakah yang tepat dianggap lebih zalim daripada orang-orang yang berusaha melarang dan menghalang-halangi disebutnya nama Tuhan di tempat-tempat peribadatan serta berusaha menghancurkan tempat-tempat tersebut. Padahal mereka tidak berhak memasukinya kecuali dalam keadaan takut kepada Tuhan. Kelak mereka (yang menghancurkan tempat-tempat peribadatan) akan mendapatkan kesengsaraan di dunia dan siksaan yang berat di akhirat”.

Insiden tembakan rambang yang berlaku kira-kira jam 1.30 petang waktu tempatan itu, ketika umat Islam negara itu sedang bersiap untuk mengerjakan solat Jumaat.

Seramai 27 dikhuatiri terbunuh dan beberapa lain tercedera selepas terkena tembakan rambang yang dilepaskan oleh seorang lelaki melibatkan dua masjid di Christchurch.

Seorang rakyat Malaysia antara yang terbabit dalam insiden tembakan di salah sebuah masjid sebagaimana di sahkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand hari ini.

Memetik laporan Daily Mail, penembak yang menggelarkan dirinya sebagai Brenton Tarrant di laman sosial Twitter memasuki Masjid Al-Noor dan bertindak melepaskan tembakan rambang terhadap jemaah.

Tindakan penembak itu disiarkan secara langsung video berdurasi 17 minit di akaun Facebooknya dipercayai lelaki warga Australia itu berusia 28 tahun melepaskan lebih 100 tembakan di dalam masjid berkenaan.

Saksi memberitahu media tempatan bahawa suspek memakai baju ala tentera dan membawa selaras senapang automatik melepaskan tembakan rambang di Masjid Al Noor.