Tempat duduk Najib Razak tidak dialih saat akhir, jelas Mujahid

Tempat duduk Najib Razak tidak dialih saat akhir, jelas Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, menafikan dakwaan kononnya tempat duduk Datuk Seri Najib Razak dialih saat akhir pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Selasa lalu.

Mujahid yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas istiadat tersebut menjelaskan, kerusi bekas Perdana Menteri itu sememangnya sudah ditetapkan.

“Kemudian Datuk Seri Najib sendiri yang bagi alasan bahawa disebabkan duduk dengan kerabat Pahang, dia kena pakai pakaian istiadat Orang Besar Pahang.

“Itu masalah dialah. Kita dah maklumkan lebih awal mengenai perkara itu. Isunya bukan dialih dan tak timbullah kami menafikan,” ujarnya.

Mujahid berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Logo Karnival Rahmah di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.

Selasa lalu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam mendedahkan sebab ketidakhadiran Najib ketika majlis istiadat tersebut.

Lokman berkata, sumber memberitahu terdapat sedikit kekecohan apabila anggota keluarga diraja mendapati tempat duduk Najib Razak telah diubah ke bahagian belakang.

Katanya, keputusan tersebut telah menimbulkan rasa tidak senang dari pihak istana kerana terdapat campur tangan politik, dan menegaskan susunan kerusi itu hendaklah dibuat selaras dengan protokol yang diwartakan kerajaan.