Tempat khas untuk perokok akan dipertimbang

Tempat khas untuk perokok akan dipertimbang

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan menyediakan tempat khas untuk perokok seperti dilakukan di Jepun dan Korea Selatan.

Menurutnya, cadangan tersebut akan diteliti semula selepas tempoh enam bulan penguatkuasaan larangan merokok di semua tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak mulai 1 Januari lalu.

“Kita perhatikan hak untuk merokok bagi perokok, itu hak demokrasi mereka. Kita tak halang perokok untuk merokok, malah kita tak boleh mengharamkan merokok.

“Kita mahukan mereka memerhatikan peraturan dan melaksanakan tuntutan itu. Oleh itu kita akan sediakan ruang dan kemudahan untuk mereka selepas tempoh enam bulan ini,” ujarnya.

Dr Dzulkefly berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Program Restoran Tanpa Asap Dan Tembakau di Presint 9 di Putrajaya bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Larangan tersebut adalah mengikut pindaan pewartaan tempat makan di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004), bertujuan melindungi orang awam terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok.

Pada Oktober tahun lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan larangan merokok di semua kedai makan, gerai makanan, medan selera, food truck dan restoran di atas kapal dan kereta api di seluruh negara berkuat kuasa pada hari ini.

Bagi kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 tindakan penguatkuasaan ialah mengenakan kompaun RM250 terhadap mereka yang didapati merokok di tempat larangan merokok dan sekiranya gagal membayar kompaun, boleh didakwa di mahkamah dengan denda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara.

Loading...

Pemilik premis pula boleh dikenakan kompaun RM250 sekiranya tidak meletakkan tanda larangan merokok dan sekiranya gagal membayar kompaun, mereka boleh didakwa di mahkamah dengan denda maksimum RM3,000 atau enam bulan penjara.