Tempatkan graduan perubatan di hospital pengajar

Tempatkan graduan perubatan di hospital pengajar

Kerajaan digesa menempatkan graduan-graduan perubatan di hospital pengajar  bagi membantu mengurangkan beban tugas para pelajar sarjana perubatan.

Langkah ini penting bagi mengelakkan tragedi yang menimpa seorang pelajar sarjana perubatan, Dr. Nurul Huda Ahmad yang terkorban akibat nahas jalan raya dalam perjalanan untuk bertugas.

Dalam kejadian di Setiu Selasa lalu, Dr. Nurul yang berkhidmat di Hospital Sultanah Nur Zahrah Kuala Terengganu terlibat dalam kemalangan maut ketika bergegas pulang untuk bertugas atas panggilan (on call) selepas menduduki peperiksaan di kampus USM Kubang Kerian.

Exco Pemuda Amanah Kelantan, Dr.  Sayodi Hussin berharap sesuatu dapat dilakukan agar kejadian seumpama ini tidak berulang.

“Mungkin lambakan graduan perubatan boleh ditempatkan di hospital-hospital pengajar untuk membantu mengurangkan beban pelajar-pelajar sarjana,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.

Beliau juga berharap  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengkaji waktu kerja pegawai-pegawai perubatan.

“Ia bukanlah sesuatu yang mustahil sekarang dengan lambakan graduan dalam  bidang perubatan ini,” katanya.

Beliau bagi pihak Pemuda Amanah Kelantan turut merakamkan takziah kepada keluarga Dr Nurul Huda.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang solehah,” katanya.

Sementara itu Presiden Papisma Malaysia, Dato’ Dr Suhaini Kadiman turut melahirkan rasa sedih dan hiba atas pemergian Dr Nurul Huda akibat kemalangan jalan raya itu.

“Kami mendoakan agar arwah ditempatkan bersama para syuhada dan solihin,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

COMMENTS

Wordpress (0)