Malaysia Dateline

Tempoh 11 hari tak dipatuhi, himpunan besar-besaran bantah barang naik digerakkan petang ini

Parti Amanah Negara (AMANAH) akan menggerakkan satu flashmob Bantah Barang Naik di seluruh negara petang ini.

Ia selepas kerajaan gagal menepati tempoh 11 hari untuk melaksanakan tiga tuntutan pihak pembangkang yang diutarakan dalam himpunan sama pada awal Julai lalu.

Menerusi video pengumuman Presidennya Mohamad Sabu, bantahan besar-besaran itu bagi menyedarkan pihak pemerintah untuk tidak bertangguh lagi dalam menyelesaikan isu kenaikan harga barang.

Himpunan bantahan akan diadakan di setiap Parlimen seluruh negara.

Mohamad turut menyeru agar rakyat Malaysia turun beramai-ramai menyertai himpunan tersebut yang akan diadakan pada jam 5.15 petang ini.

“Rakyat Malaysia sedang menghadapi kenaikan harga barangan keperluan khasnya barang makanan.

“Rakyat diseru bersama-sama untuk menyedarkan pihak pemerintah supaya mereka bertanggungjawab mengawal kenaikan harga barang yang begitu mendadak sehingga menyusahkan seluruh rakyat Malaysia sekarang ini.

“Oleh itu pihak AMANAH akan bersama-sama rakyat pada pukul 5.15 petang di seluruh Parlimen Malaysia untuk membuat satu flashmob membantah kenaikan harga barang,” katanya.

1 Julai lalu, Himpunan Bantah Kenaikan Harga Barang telah memberi tempoh 11 hari kepada blok kerajaan untuk melaksanakan tiga tuntutan bagi menyelesaikan masalah kenaikan harga barangan dalam negara.

Himpunan yang rata-rata dikendalikan oleh pemimpin AMANAH itu antara lain menuntut agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memanggil satu sidang khas di Parlimen untuk membolehkan kesemua Ahli Parlimen dapat duduk berbincang mengenai masalah bekalan makanan dengan mencari kaedah penyelesaian yang tuntas.

Bagaimanapun sehingga hari ini masih tiada sidang khas dilakukan.

Demo bantahan kedua ini dilakukan selepas kerajaan gagal melaksanakan tiga tuntutan yang diminta.