Malaysia Dateline

Tempoh 14 hari berkesan kawal Covid-19 sekiranya rakyat patuh, berdisiplin

Tempoh perintah kawalan pergerakan selama 14 hari yang bermula 18 sehingga 31 Mac depan, diyakin mampu menangani penularan wabak Covid-19 daripada terus berleluasa.

Namun, menurut Setiausaha Agung AMANAH Nasional, Dr Mohd Hatta Ramli, ia hanya berkesan sekiranya rakyat Malaysia berdisiplin dan bertanggungjawab mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan.

Katanya, tempoh yang diberikan kerajaan adalah untuk menilai suasana dan kes jangkitan sama ada mencatat penurunan rekod atau peningkatan kes.

“Tempoh 14 hari itu tempoh minimum yang perlu diikuti oleh semua untuk kurangkan tekanan yang wujud sekarang. Dalam tempoh itu, kita boleh lihat dan kaji semula sama ada perlu untuk tambahkan tempoh perintah.

“Kita kena ada rasa tanggungjawab dan disiplin untuk mengawal diri kita yang sekali gus dapat menyumbang kepada penurunan kes dan dinamik jangkitan juga akan berhenti.

“Disiplin rakyat ini kena betul. Jangan kita anggap orang tak nampak, jadi kita boleh buat suka-suka,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Pada masa sama, mantan Timbalan Menteri Pembangunan dan Usahawan itu berkata, apa yang penting ketika ini adalah untuk mengawal wabak berkenaan daripada semakin merebak.

Beliau berkata, dengan itu orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak pulang ke kampung seperti yang disarankan kerajaan.

Katanya, tindakan sedemikian malah hanya menambahkan peluang untuk dijangkiti dan menyukarkan usaha kerajaan menangani dan memutuskan sebaran jangkitan berkenaan.

“Kawal diri kita daripada bertemu orang ramai. Kalau benda ini dapat dibuat dengan bertanggungjawab oleh semua orang, itu akan membuah kejayaan.

“Kalau kita pulang ke kampung, sama ada kita membawa penyakit ke kampung, atau kita sendiri yang dapat penyakit dari orang kampung.

“Tak ada makna kawalan pergerakan lah kalau begitu. Jadi kita kena ambil serius dengan meminimumkan pergerakan kepada perkara yang betul-betul kritikal sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan itu juga menyarankan orang ramai untuk tidak hanya bergantung pada penguatkuasaan kerajaan tanpa mengambil langkah berjaga-jaga untuk diri sendiri dan orang sekeliling.