Malaysia Dateline

Tempoh 14 hari sudah berakhir: Apa tindakan Umno?

Beberapa ahli Majlis Tertinggi Umno dan pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) berada di ibu pejabat Umno, PWTC petang tadi.

Pertemuan tersebut difahamkan berkaitan pengumuman keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan berakhirnya tempoh 14 hari diberikan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, lapor Agenda Daily.

Antara ahli MT Umno yang memasuki bangunan Umno itu, Datuk Seri Razali Ibrahim dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak; Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Naib Presiden MIC Datuk C. Sivarraajh.

Bermula 21 Jun lalu, Umno menuntut kerajaan PN untuk memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menegaskan kerajaan tidak perlu berdolak-dalik lagi mengenai istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan dalam kedua-dua kenyataan media mengenai sidang Parlimen pada 16 Jun dan 29 Jun lalu.

Dalam hal berkaitan, Ahmad Zahid juga akan mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Umno pada malam ini, lapor Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md. Yasin memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin iaitu sebelum 1 Ogos ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata perkara itu akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri Rabu minggu ini iaitu 7 Julai.