Malaysia Dateline

Tempoh 2 tahun peralihan kuasa tidak penting pada masa ini, kata Pemuda AMANAH

Pemuda AMANAH berpendapat tempoh peralihan kuasa tidak penting buat masa ini kerana Pakatan Harapan perlu menumpukan kepada agenda pemulihan dan perubahan yang dijanjikan terutama dalam menyelesaikan isu kos sara hidup dan peningkatan kualiti hidup.

Timbalan Ketua Pemudanya Faiz Fadzil berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti akan menjadi Perdana Menteri mengantikan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana Anwar adalah pilihan Pakatan Harapan sejak awal namun transisi ini perlu dilakukan secara licin dan kondusif.

“Bagi memastikan kestabilan politik dan kerajaan juga perkara penting dilakukan sebuah kerajaan pasca revolusi.

“Saya mahu kita (Pakatan Harapan) mengikut jejak langkah pentadbiran di Turki dan Iran yang stabil dan tidak mahu menjadi seperti Mesir dan Indonesia yang rapuh yang menyebabkan agenda pemulihan terbantut atau perlu mengambil masa begitu panjang,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Faiz Fadzil

Beliau diminta mengulas kenyataan di buat oleh Naib Ketua AMK Syed Badli Shah Osman pada Jumaat, yang menegaskan Tempoh masa peralihan kuasa diantara 2 tahun ke 2 tahun setengah adalah tempoh yang wajar dipertimbangkan sebelum berakhir separuh penggal pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Syed Badli berkata demikian setelah PH memasuki pusingan kedua pemerintahan selepas meraikan ulangtahun pertama pemerintahannya di bawah Malaysia Baharu pada 9 Mei lepas.

Kata Faiz lagi, buat masa ini Negara sedang berada di landasan betul dalam proses pemulihan tadbir urus melalui pemerkasaan kebebasan Parlimen dan hak asasi serta perubahan struktur dan perlantikan baharu perjawatan utama institusi demokrasi dan dana awam negara.

Negara juga dalam proses perubahan dasar ekonomi yang berintegriti dan mampan dengan pelbagai polisi kebajikan rakyat diperkenalkan dengan pelbagai projek mega yang distruktur semula bagi merangsang ekonomi negara.

Tambahnya lagi, semua langkah proaktif dan progresif ini perlu diberikan perhatian oleh kerajaan PH yang bertindak secara kolektif dan bukan unilateral.

“Sebgai mewakili kumpulan muda dalam Pakatan Harapan , Saya lebih mengutamakan semua pemimpin muda berusaha bersama-sama menyumbang idea dan keringat membantu usaha kerajaan Pakatan Harapan utk mengangkat agenda perubahan yang sedang dilaksanakan ini.

“Kurangkan politiking dan tumpukan kerja. Sebaiknya, pemuda Pakatan Harapan diperkukuhkan dan digerakkan segera bagi memastikan orang muda konsisten menyokong Pakatan Harapan memandangkan terdapat kajian menunjukkan hanya 33 peratus orang muda menyokong Pakatan Harapan.

“Mengekalkan kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU ke 15 adalah perkara paling utama dan asas perjuangan pemuda Pakatan Harapan,” ujarnya.