Tempoh dua tahun Mahathir sebagai PM konsensus yang harus diyakini, kata MP Merbok

Tempoh dua tahun Mahathir sebagai PM konsensus yang harus diyakini, kata MP Merbok

Nurin Aina Abdullah

Kenyataan demi kenyataan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed bahawa beliau akan melepaskan jawatan yang disandangnya setelah cukup dua tahun seharusnya diyakini dan dipercayai, kata Ahli Parlimen Merbok, Nurin Aina Abdullah.

Menurut beliau Pakatan Harapan (PH) merupakan satu-satunya kerajaan contoh terbaik hasil konsensus dan kesepakatan komponen yang telah terjalin sebelum kemenangan dicapai dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu.

Oleh kerana itu ujarnya, saranan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya Tun Mahathir menghabiskan sehingga sepenggal jawatan yang disandangnya sebagai Perdana Menteri adalah berlawanan dengan kesepakatan yang telah dicapai oleh PH sehingga membuahkan kemenangan besar menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam PRU yang lalu.

“Kesepakatan komponen dalam PH sebelum PRU yang lalu berjaya memberi impak yang besar setelah janji yang dilaung-laungkan berjaya mempengaruhi sokongan rakyat.

“Pengukuhan kesepakatan tersebut adalah dengan memenuhi janji-janji yang telah disepakati bersama sebelum PRU yang menyaksikan PH berjaya membentuk kerajaan kini.

“Sehubungan itu setelah rintangan dan halangan berjaya direntasi dan diatasi maka, mengotakan janji tersebut merupakan suatu tuntutan yang seharusnya ditepati tanpa dimungkiri, ” tegasnya.

Malah katanya tindakan Anwar yang sanggup mengorbankan segala keringat, kepayahan dan kesukaran bagi membangunkan negara dengan menyertai Parlimen melalui pilihan raya kecil Port Dickson seharusnya dilihat dari perspektif yang lebih rasional dan positif.

“Saya amat optimis sebagai seorang negarawan yang mempunyai banyak pengalaman sudah pasti Tun Mahathir akan mengotakan janjinya selepas tempoh dua tahun.

“Walau bagaimana pun saranan Presiden Pas supaya Tun Mahathir menghabiskan penggal beliau sukar untuk diterima kerana Hadi sendiri tidak bersama dalam konsensus yang disepakati oleh Majlis Presiden PH.

“Maka itu segala dakwaan dan dakyah untuk memecahbelahkan kesatuan dalam komponen PH haruslah ditangani dengan lebih rasional serta berhati-hati oleh pimpinan parti masing-masing, ” tambahnya lagi.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS