Malaysia Dateline

Sejak pelancaran FGV pada 2012 di Bursa Malaysia pada harga RM445 sesaham nilai saham FGV terus merosot ke tahap RM168 sesaham

Tempoh paling sukar FGV sudah berakhir, kata Pengerusi

Tempoh paling sukar FGV Holdings Bhd sudah berlalu dan juga telah melaksanakan sebahagian daripada langkah transformasi, termasuk perubahan besar dalam pengurusan, kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Sementara, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman keputusan kewangan suku ketiga FGV di sini hari ini, beliau berkata, masa depan akan menjadi lebih cerah bagi syarikat pertanian dan agro-komoditi global tempatan tersebut.

“Saya adalah “pesakit jantung yang perlahan-lahan keluar dari bilik bedah” dan saya akan ke Unit Rawatan Rapi untuk pemulihan dan saya perlu aktif semula dalam tempoh satu minggu lagi.

“Dan secara peribadi, saya percaya harga saham kami tidak akan kekal di bawah RM1,” katanya, sebagai reaksi kepada soalan sama ada saham FGV akan menjadi sangat rendah.

Saham syarikat perladangan itu merosot ke paras terendah pada Selass selepas ditutup pada sembilan sen atau 8.26 peratus lebih rendah kepada RM1, dengan itu mengurangkan permodalan pasaran sebanyak RM330 juta lagi.

Menurut Azhar, dengan program transformasi yang berterusan, pelabur akan mula melihat nilai terhadap apa yang sedang dilakukan FGV.

“Diharapkan tahap keyakinan akan bertambah baik tetapi saya juga percaya bahawa kepercayaan perlu diperolehi.

” Oleh itu, melihat kepada apa yang kami lakukan, matlamat yang kami fikirkan dan kekal telus akan melihat kami bergerak ke hadapan, saya yakin tahap kepercayaan akan bertambah baik dan ini akan dapat dilihat pada harga saham yang lebih baik pada masa akan datang,”tambahnya.

Sejak 12 bulan lepas, FGV melakukan beberapa perubahan, termasuk komposisi lembaga pengarah yang kini merangkumi pakar industri dan pakar perkara berkaitan lain.

Lembaga pengarah juga sedang dalam proses melantik beberapa calon baru untuk pelbagai jawatan utama dalam syarikat.

Mengenai siasatan forensik yang melibatkan enam urus niaga dan/atau keputusan pelaburan, beliau berkata, syarikat itu dijangka menyelesaikan proses itu menjelang akhir 2018.

“Daripada enam, satu atau dua tindakan undang-undang akan dimulakan,” katanya.

Siasatan telah selesai ke atas pengambilalihan ke Asia Plantations Ltd (APL), pelaburan di FGV Cambridge Nanosystems Ltd dan Troika berhampiran Menara Berkembar Petronas.

FGV mencatat kerugian terbesarnya berjumlah RM788 juta pada suku ketiga, kebanyakan daripadanya daripada APL.

Terdahulu, FGV memberitahu Bursa Malaysia bahawa ia mencatat kerugian bersih RM849.26 juta pada suku ketiga yang berakhir pada 30 Sept,2018 berbanding keuntungan bersih RM41.53 juta yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan susut kepada RM3.19 bilion daripada RM4.14 bilion sebelumnya.

— BERNAMA