Malaysia Dateline

‘Tempoh tiga bulan ini paling kritikal’

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berpendapat tempoh sehingga Mac ini sebagai fasa paling kritikal bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menurutnya, syor persempadanan semula kawasan pilihan raya yang menyasarkan pengundi Melayu menuntut sejauh mana strategi Pakatan Harapan dalam memenangi hati segmen tersebut.

“Tempoh tiga bulan ini sebagai tempoh paling kritikal. Kalau Pakatan Harapan ambil pendekatan proaktif, saya kira boleh mengubah keputusan pilihan raya.

“Sasaran pada kali ini pengundi Melayu. Pendekatan perlu berubah. Bagaimana dasar-dasar mendekati pengundi Melayu ini dapat diusahakan?” katanya pada sidang media Kajian Persempadanan Semula PRU dan Kesan terhadap PRU14 di Auditorium IDE, Shah Alam hari ini.

Walaupun syor persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kali ini seperti memberi gambaran kemenangan kepada BN tetapi hal tersebut, tegas beliau, tidak semestinya berlaku.

“Hasil (keputusan pilihan raya) tidak semestinya sama dengan apa yang dirancang.

“Apa yang berlaku ‘design’ ini (persempadanan semula) boleh terbukti pada (pilihan raya umum) 2004 tetapi 2008 keputusannya lain.

“Kita sedar banyak elemen yang menjadi penentu pada pilihan raya pada kali ini seperti isu kenaikan harga barang, 1MDB dan sebagainya,” ujarnya lagi.