Malaysia Dateline

Tempoh untuk benar rentas negeri semakin hampir

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob percaya tempoh untuk membenarkan rentas negeri sudah semakin hampir dan ia akan terus diumumkan sejurus negara mencapai 90 peratus vaksinasi.

Beliau berkata, pihaknya memahami ramai individu mahu pulang ke kampung dan malah beliau sendiri pernah melalui situasi sama sebelum ini.

Bercakap dalam wawancara khas yang disiarkan secara langsung malam ini, beliau berkata penetapan 90 peratus vaksinasi sebelum kebenaran rentas negeri dibuat adalah bagi memastikan semua negeri berpeluang diberi kelonggaran sama.

“Dulu ada janji 80 peratus boleh rentas negeri, kenapa tiba-tiba jadi 90 peratus? Kita lihat apabila 80 peratus, kita lihat banyak negeri yang peratusannya masih kecil.

“Kalau kita buka seluruh Malaysia kita tidak mahu tinggalkan negeri yang masih kecil peratusan vaksin.

“Jadi sebab itu kita tunggu 90 peratus, kerana kita percaya apabila 90 peratus, setiap negeri dah 80 peratus lebih.

“Saya percaya ramai nak balik kampung. Sesetengah itu sudah setahun lebih tidak tengok ibu bapa mereka. Sesetengah ibu bapa tak sihat,” tambah Ismail lagi.

Sebelum ini, Ismail mengumumkan, kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis dibuat Kementerian Kesihatan.

Hal tersebut diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 22 September lalu.

Setakat semalam, seramai 20,317,843 atau 86.8 peratus populasi dewasa di negara ini sudah lengkap divaksinasi.