Temu rapat pertama Pakatan Harapan Kelantan ikrar bersatu lawan BN

Temu rapat pertama Pakatan Harapan Kelantan ikrar bersatu lawan BN

Buat pertama kali pemimpin Pakatan Harapan (PH) peringkat negeri Kelantan mengadakan temurapat di Wisma Tok Guru, Salor.

Datuk Husam MusaPenasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa ketika berucap mengalu-ngalukan kehadiran hampir 200 pemimpin peringkat negeri dengan sayap parti masing-masing itu berharap perjumpaan itu menjadi permulaan penting kepada masa depan politik Kelantan.

“Rakyat sedang menunggu-nunggu munculnya gabungan mantap parti-parti di luar BN bagi membentuk sebuah kerajaan baru selepas PRU14 nanti.

“Rakyat Kelantan juga yang kini tidak yakin lagi dengan Umno dan golongan yang mesra parti itu amat berharap sebuah gabungan yang boleh dipercayai mampu mengambil alih Kelantan,” katanya dalam temu rapat yang diadakan kelmarin.

PH katanya adalah satu gabungan versi baru dalam politik Malaysia.

“Dalam gabungan ini, kita tidak harus merasai ada siapa tinggi siapa rendah.

“Semua pihak perlu memberi tumpuan kepada objektif bersama iaitu menumbangkan Barisan Nasional dan mendirikan sebuah kerajaan pro-rakyat,” katanya.

Kehadiran menyeluruh semua pimpinan parti dalam PH pada majlis itu katanya menunjukkan komitmen maksima telah ditunjukkan oleh semua parti.

“Sebelum ini Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memang diberi peluang untuk berinteraksi dengan Pas dalam usaha mewujudkan pertandingan satu lawan satu antara BN dan gabungan pembangkang.

“Sekarang dengan keputusan muktamar Pas memutuskan hubungan dengan PKR dan pihak PPBM sudah menamatkan tempoh rundingan dengan parti itu, kita bolehlah memberi tumpuan lebih mantap,” katanya.

Datuk Kamaruddin Mohd NorSementara itu ketua perhubungan Bersatu Kelantan Datuk Kamaruddin Mohd Nor dalam ucapannya berharap PH Kelantan akan segera bergerak seiringan.

“Sudah sampai masanya sekretariat bersama perlu dibentuk bagi mengadakan perancangan dan operasi bersama.

“Sekretariat ini amat perlu supaya kerja-kerja penerangan dan latihan kemahiran anggota parti dapat dijalankan secara lebih teratur,” katanya.

Pengerusi majlis pimpinan negeri (MPN) PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir berkata kerja-kerja turun padang bagi tujuan kebajikan dan merayu undi perlu segera diselaraskan antara parti-parti.

“Sebagai contoh menjelang Ramadan ini masing-masing parti bahagi-bahagikan buah kurma dengan logo parti masing-masing.

“Apa salahnya kita bergabung dengan meletakkan logo semua parti sementara satu logo bersama belum muncul.

“Dengan cara ini pertindihan penerima boleh dielakkan dan tentulah lebih ramai yang dapat kita sampaikan untuk mempromosikan PH,” katanya.

Turut berucap di majlis itu ialah wakil DAP Kelantan, saudara Chua Chin Hui yang berharap parti itu akan dapat turut menyumbang kepada kejayaan PH.

“Sebagai sebuah parti yang sejak awal bersama PH, kami akan bekerja keras memberi apa jua bantuan untuk mengalahkan BN.

“Memang kami berharap PH memberi peluang untuk calon DAP bertanding di Kelantan, namun itu bukanlah syarat untuk kita bekerja,” katanya.

Temu rapat itu turut diisertai oleh aktivis Transparency International Datuk Akhbar Satar.

Beliau membentangkan kertas bertajuk ‘Indeks Rasuah’ di Malaysia.

COMMENTS

Wordpress (0)