Tenaga buruh suku keempat 2018 naik 2.4 peratus berbanding 2017

Tenaga buruh suku keempat 2018 naik 2.4 peratus berbanding 2017

Tenaga buruh Malaysia bagi suku keempat 2018 meningkat 2.4 peratus kepada 15.45 juta orang berbanding suku keempat 2017, demikian menurut Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin hari ini.

Beliau berkata penduduk bekerja di negara ini turut meningkat 2.4 peratus kepada 14.93 juta orang dalam tempoh yang sama.

“Perbandingan suku tahun ke suku tahun pula menunjukkan tenaga buruh dan penduduk bekerja meningkat masing-masing 0.4 peratus dan 0.5 peratus berbanding suku tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada suku tahun keempat 2018 naik 0.1 mata peratus kepada 68.6 peratus berbanding suku ketiga 2018.

Pada suku keempat 2018, kadar pengangguran bertambah baik 0.1 mata peratus kepada 3.3 peratus berbanding suku ketiga 2018.

“Bagaimanapun, kadar pengangguran pada Disember 2018 kekal pada 3.3 peratus berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

— BERNAMA