Malaysia Dateline

‘Tenang, institusi raja kita sedang bertugas’

Malaysia unik dalam sistem pemerintahannya. Sebagai sebuah demokrasi dalam kerangka Raja Berperlembagaan, peranan Institusi Raja kekal terutama dalam menentukan dan melantik Perdana Menteri.

Dinamika politik di kalangan rakyat walau suhu membahang sekalipun akan ditentukan nasibnya oleh institusi Istana apabila ia sampai ke sempadan garisan untuk menentukan kepimpinan negara dan pentadbirannya.

Dalam keadaan biasa, pakej menentukan PM dan kerajaannya berlaku serentak sejurus keputusan PRU diisytiharkan. Parti yang memiliki majoriti akan mencalonkan nama untuk diperkenankan dan dilantik oleh YDPA sebagai PM penggal baru.

Urusannya tidaklah rumit dan bersifat ‘straight forward’ Selesai kerja Istana, rakyat pun kembali dengan urusan mereka dan ahli politik akan pulang ke gelanggang untuk berpencak sehingga giliran PRU seterusnya.

Namun pasca 13 Oktober 2020, tidak boleh difahami dalam bentuk lazimnya di peringkat kerajaan persekutuan. Sejak Feb 2020 melalui ‘Langkah Sheraton’ kelaziman itu dicabar apabila kerajaan yang mendapat mandat rakyat ditukar dengan kerajaan dan kepimpinan baru tanpa PRU.

Ketika itu peranan Istana muncul untuk menjalankan fungsinya secara undang-undang bagi memutuskan krisis politik yang berlaku. Peranan YDPA ialah membuat pengesahan mengikut proses ditetapkan tentang benarkah ada majoriti bagi yang mendakwa dan siapa yang layak akan jadi PM baru?!

Pasca 13 Oktober adalah rentetan tragedi Februari lalu yang menyaksikan pergelutan pihak yang dirampas menuntut kembali haknya dengan menggunakan kewajaran hak perundangan yang sama. DSAI mendakwa memiliki majoriti, dan dirinya dicalon sebagai PM dipersetujui dari kalangan majoriti. Bezanya TSMY tidak meletakkan jawatan hari ini tetapi Tun M telah meletakkan jawatan dalam krisis tragedi Februari.

Menentukan kesahihan majoriti dan calon PM secara berperundangan bukanlah tugas rakyat mahupun pihak yang bergelut, ia adalah tugas Raja yang sangat kritikal untuk meneruskan perjalanan negara.

Sudah tentu verifikasi dakwaan ada prosesnya, kaedahnya dan ada teknikalnya dan taktikalnya. Rakyat tidak terlibat dalam proses tersebut walaupun gegak gempita komen-komen yang dibuat di luar istana. Sementara hingar-bingar suhu politik di luar meningkat, istana sibuk memastikan perjalanan undang-undang mengikut lunas-lunas yang telah ditetapkan.

Anwar dalam sidang media semalam selepas mengadap Agong.

Memang benar prosesnya bahawa setiap dakwaan perlu dibuktikan. DSAI telah melalui semua kaedahnya dari medan luar istana. DSAI konsisten ada majoriti kukuh sejak 23hb Sept dan pada 13 Oktober selesai mengadap, DSAI memetik bilangannya iaitu 120 MP. Kita dapat lihat peningkatan isi sidang media DSAI dari dakwaan wujud kepada jumlah bilangan. Dari sudut itu DSAI telah menunjukkan kesahihan dakwaannya.

DSAI juga telah mengadap ke bawah Duli Tuanku dengan persediaan rapi majoriti yang didakwanya. Semua telah dijelaskan dalam sidang media 2 petang ,13 Oktober. Adapun apa sahaja yang datang dari kenyataan Istana, itu adalah atas kuasa perlembagaan yang ada padanya selain wewenang Tuanku dan kebijaksanaan Baginda untuk membuat apa sahaja respons demi kepentingan suara rakyat di luar Istana.

Minggu ini pasca 13 Oktober adalah hari-hari yang sibuk di balik tembok Istana kerana proses verifikasi yang akan menentukan keputusan Baginda Tuanku sedang berjalan.
Dari luar, kita hanya nampak ketua-ketua parti akan keluar masuk Istana memenuhi kehendak teknikal undang-undang dan taktikal pihak Istana. Senarai nama sokongan kepada DSAI dari kalangan MP akan dipersembahkan melalui ketua parti masing-masing dan bukan dari DSAI.

Sementara itu, lensa rakyat marhaen tidak terelak dari membuat spekulasi panas khususnya yang terkini iaitu ancaman Umno ke atas PN untuk menarik sokongan kepada TSMY melainkan TSMY menerima syarat-syarat baru bertulis.

Pastinya apa yang berlaku memanaskan lagi suhu politik dengan spekulasi ‘nakal’ dan tentunya akan memberikan kesan kepada kesibukan tugas yang perlu dibereskan oleh pihak Istana.

DSAI dan pemimpin PH menasihati agar semua rakyat tenang dan berikan kepercayaan kepada YDPA untuk memutuskan situasi dengan tepat dan bijaksana demi kepentingan rakyat. Mari kita relaks seketika sementara Institusi Raja kita sedang bertugas.

Shhh…Raja kita sedang bekerja…!