Malaysia Dateline

Tender Nafas: Rundingan terbuka atau terus boleh diadakan

Tun Dr Mahathir hari ini memaklumkan bahawa, kerajaan boleh mengadakan rundingan secara terbuka atau rundingan secara terus berkaitan pemberian tender membekal baja menerusi skim subsidi negara.

Walaubagaimanapun, Perdana Menteri berkata, pihaknya juga boleh menentukan syarat-syarat bagi kedua-dua cara rundingan tersebut.

“Kita boleh tentukanlah syarat-syarat untuk rundingan terus dan syarat-syarat untuk tender terbuka, OK terima kasih,” jawab beliau ringkas pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir menjelaskan demikian ketika ditanya pemberita mengenai kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berhubung isu tender berkenaan.

Memetik laporan Astro Awani, sebelum ini, Wee mempersoalkan pemberian projek pembekalan input pertanian sektor padi kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang melibatkan peruntukan RM1.4 bilion.

Wee juga mendakwa projek itu diberikan secara rundingan terus walaupun tewas dalam persaingan tender terbuka.

Dakwanya, terdapat satu surat bertarikh 7 November 2019 daripada seorang menteri kepada perdana menteri, memohon melantik Nafas secara rundingan terus bagi tempoh 3 tahun dari 2020 hingga 2022.

Semalam, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Seri Salahuddin Ayub memaklumkan urusan pemberian tender MOA kepada Nafas masih belum dimuktamadkan.

Salahuddin menegaskan bahawa proses itu telah dilaksanakan mengikut prosedur serta peraturan yang tetapkan dan tidak berlaku skandal seperti didakwa.

Tambahnya, apa yang dilakukan dalam kementerian adalah mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan sentiasa menimbang serta memperjuangkan nasib peladang dan petani.

Beliau turut mengakui ada menulis surat kepada Dr Mahathir untuk memohon lantikan terus kepada Nafas pada 7 November lalu, namun perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.