“Tongah hari buto Menteri kayuh basikal”

“Tongah hari buto Menteri kayuh basikal”

Syed Saddiq singgah meninjau padang di Kampung Sesapan Batu Rembau di Beranang, Semenyih.

Penduduk sekitar Semenyih, Selangor hari ini dikejutkan dengan rombongan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengayuh basikal di bawah panas terik matahari.

“Tongah (tengah) hari buto (buta) Menteri kayuh basikal,” kata seorang penduduk Kampung Sesapan Batu Minangkabau di Beranang dengan nada kagum sejurus Malaysia Dateline menghampirinya.

Beliau antara penduduk kampung yang dilihat keluar dari kediaman mereka lantaran tertarik dengan kemunculan menteri muda berusia 27 tahun itu.

Untuk rekod, rata-rata masyarakat tempatan di kampung tradisional di Beranang berbahasa loghat Negeri Sembilan sesuai dengan lokasi penempatan mereka yang bersempadan dengan wilayah Adat Perpatih itu.

Syed Saddiq yang juga Ketua Armada Bersatu mengetuai Program Kayuhan Santai yang bermula dari Ecohill Park pagi tadi.

Saddiq beramah mesra dengan adik beradik Saridah Paijo, 75 (kanan) dan Salisah Paijo, 60 (kiri) di Kampung Sesapan Kelubi, Beranang.

Ahli Parlimen Muar berkenaan yang diiringi anggota polis trafik bermotosikal turut berhenti di lima persinggahan untuk beramah mesra dengan penduduk setempat.

Kebanyakan mereka terdiri daripada warga emas. Sumbangan turut diberikan kepada mereka terbabit.

Penempatan terlibat ialah Kampung Rinching Tengah, Kampung Sesapan Kelubi, Kampung Jalan Enam Kaki, Kampung Sesapan Batu Minangkabau dan berakhir di Kampung Sesapan Batu Rembau.

Sepanjang program kayuhan basikal sejauh 25 kilometer itu, Syed Saddiq sempat singgah di lapan rumah asnaf.

Ketua Armada Bersatu ini dipelawa menjamah makanan di majlis kahwin ketika singgah di Kampung Sesapan Kelubi.

Hampir 100 penunggang basikal mulanya mengayuh bersama-sama Syed Saddiq sebelum hanya tinggal kira-kira 30 orang rata-ratanya belia sejurus tiba di Balai Raya Kampung Sesapan Batu Rembau.