Tengah panas terik pun tetap tarik beg masuk universiti sambil jalan kaki, warganet sebak lihat pengorbanan ibu bapa demi anak tersayang

Oleh MAISARAH AISYA

Tular di media sosial mengenai satu keluarga yang berjalan masuk ke pintu hadapan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam keadaan panas terik.

Terlihat si bapa bangga mengambil gambar pintu hadapan universiti sebelum berjalan masuk dengan muka penuh bangga.

Video tersebut dimuat naik TikTok rasmi UMPSA, rupanya keluarga tersebut datang dari Sarawak dan menaiki bas demi menghantar anak tersatang.

“Hebatnya kasih ayah dan ibu teman anak masuk UMPSA. Dari jauh nampak satu keluarga ini jalan kaki tengah panas. Ingatkan kereta rosak.

“Sedihnya tengok panas-panas ni jalan kaki tolak beg di saat yang lain naik kereta. Bila ditanya, katanya mereka datang dari Sarawak naik bas nak hantar anak masuk UMPSA.

“Pihak UMPSA bergegas carikan kereta untuk mereka masuk ke dalam kampus. Hebatnya kasih ayah dan ibu teman anak masuk universiti,” menurut keterangan pada video itu.

Rata-rata warganet turut sebak melihat kesungguhan si ibu bapa yang tidak lelah malah berbangga dapat menghantar anak ke menara gading.

“Bab-bab keluarga ni memang automatik air mata mengalir, besar pengorbanan mak ayah hantar anak-anaknya smbung belajar.

“Saya pernah melaluinya hantar adik ke UKM bersama ayah dan mak sampai putus tali beg ayah saya. Alhamdulillah adik dah berjaya sekarang jadi pendidik,” antara komen warganet.

Menurut pengguna Tiktok, Razalie Jalie, dia memaklumkan bahawa si bapa adalah seorang guru besar di satu sekolah di Sarawak.

“Saya kenal keluarga ini. Bapanya seorang guru besar di sekolah anak saya. Dia juga seorang cikgu yang baik dan peramah dengan ibu bapa pelajar.

“Tahniah cikgu Tahir, mempunyai anak yang berjaya,” ujarnya.

Mak dan bapa sanggup mengorbankan tenaga, duit dan masa demi anak tercinta, semoga anaknya tidak lupa perjuangan mereka bila dah menginjak dewasa.

Baca juga: Mahu lindungi diri di hari Akhirat, ketua kartel dadah ditanam dengan ratusan senjata api