Tengku Muda Pahang dilantik Jumaah Pemangku Raja

Tengku Muda Pahang dilantik Jumaah Pemangku Raja
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini berkenan melantik Ahli-ahli Jumaah Pemangku Raja dalam Majlis Pengurniaan Suratcara Pelantikan yang diadakan di Bilik Mengadap Besar Istana Abu Bakar Pekan hari ini.

Ahli-ahli Jumaah berkenan akan menjalankan tugas-tugas Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang kini sedang belajar Akademi Tentera Diraja Sandhurst (Royal Military Academy Sandhurst) di United Kingdom sehingga 15 Disember tahun ini.

Pada majlis itu Sultan Abdullah berkenan melantik Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah sebagai Pengerusi Jumaah Pemangku Raja bermula 15 Februari hingga 15 Disember 2019.

Pelantikan diadakan mengikut Fasal 1 (a) Perkara 18 (Bahagian Pertama) Undang-undang Tubuh Kerajaan negeri iaitu jika sekiranya Raja Pemerintah dipilih memegang jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, maka Raja Pemerintah boleh melantik Pemangku Raja atau Jumaah Pemangku Raja bagi menunaikan tugas-tugas diraja sehingga sampai masanya baginda berhenti menjalankan tugas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sementara Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam Sultan Ahmad Shah, pula dilantik menjadi Ahli Jumaah Pemangku Raja Pahang juga bagi tempoh yang sama.

Lima lagi yang Ahli Jumaah Pemangku Raja yang dilantik, akan menjalankan tugas secara bergilir-gilir mengikut tempoh yang telah ditetapkan.

Mereka ialah Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang Tengku Tan Sri Hajah Meriam Sultan Ahmad Shah (15 Februari hingga 15 April ); Tengku Puteri Seri Teja Pahang Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah (16 April hingga 16 Jun); Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Tengku Hajah Datuk Aishah Sultan Ahmad Shah (17 Jun hingga 17 Ogos).

Sementara Tengku Puteri Seri Lela Manja Pahang Tengku Datuk Hajah Nong Fatimah Sultan Ahmad Shah akan menjalan tugas sebagai Ahli Jumaah Pemanghku Raja bermula 18 Ogos hingga 18 Oktober), dan Tengku Puteri Bongsu Pahang Tengku Datuk Hajah Shahariah Sultan Ahmad Shah (18 Oktober hingga 15 Disember 2019).

Tengku Hassanal sebelum ini dimasyhurkan menjadi Pemangku Raja Pahang dalam istiadat yang diadakan di Istana Abu Bakar pada 29 Januari lalu.

Pelantikan baginda bagi menjalankan fungsi-fungsi jawatan ayahanda baginda sebagai Sultan Pahang sepanjang ketiadaan baginda menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun berkuatkuasa pada 31 Januari lepas.