Malaysia Dateline

Tengku Permaisuri Selangor dikurniakan gelaran Datin Paduka Setia

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) (Kelas Pertama) yang membawa gelaran Datin Paduka Setia kepada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Acara menganugerahan darjah kebesaran berkenaan dijalankan dalam satu istiadat yang diadakan di Istana Bukit Kayangan, di sini hari ini.

Pada istiadat yang sama, baginda juga berkenan menyampaikan watikah pelantikan Bentara Raja kepada anggota kerabat diraja Selangor, Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari Alhaj.

Turut berangkat ke istiadat berkenaan adalah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir, kerabat-kerabat diraja Selangor dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan sebagai Panel Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor kepada Datuk Mohd Radzi Abd Latif dan Datuk Jasri Nasip Mat Jakir.

Pelantikan Mohd Radzi, 53, dan Jasri Nasip, 57, yang berkuatkuasa pada 9 Mei lepas, dibuat selaras dengan Subseksyen 57 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Turut menerima watikah pelantikan daripada Sultan Sharafuddin adalah tiga Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor iaitu Nadiah Khamis, 43, Mohd Faizal Habib, 36, dan Muhammad Mujahid Ahmad, 43, yang berkuatkuasa pada tarikh sama.

Selain itu di istiadat berkenaan juga enam Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Selangor serta tujuh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk negeri juga menerima watikah pelantikan daripada Sultan Sharafuddin yang berkuatkuasa pada 9 Mei lepas.-BERNAMA