Malaysia Dateline

Tengku Zafrul telah diingatkan, anda hanya kambing di tengah serigala

Sebelum Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyahut cabaran bekas Menteri Kabinet Pakatan Harapan agar mendedahkan 101 projek runding terus semasa PH, beliau telah diberikan ingatan bahawa anda dalam bahaya.

“Tengku Zafrul dalam bahaya kerana bermain di jalan yang licin dan bakal menjadi seorang lagi korporat yang tiada nilai kerana bermain politik,” tulis tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin.

A KADIR JASIN

Tulisan ini dibuat Kadir pada pagi Selasa, selepas Tengku Zafrul mendakwa kerajaan Pakatan Harapan meluluskan 101 projek secara runding terus.

Pada hari Selasa itulah juga kebanyakan Menteri Kabinet PH termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar beliau membuat pendedahan terhadap 101 projek runding terus itu.

Ekoran itu, pada hari Rabu semalam Tengku Zafrul mendedahkan satu persatu 101 projek runding terus kerajaan PH itu.

Hari ini, satu persatu bekas Menteri Kabinet PH bangkit menjelaskan setiap projek ini bermula dengan bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke ekoran kementerian beliau berada di senarai teratas pendedahan Tengku Zafrul itu.

“Sebagai bukan ahli politik dalam kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional, dia perlu berhati-hati mempolitikkan kedudukannya,” tulis Kadir lagi pada Selasa lepas.

Bagi Kadir, Tengku Zafrul sepatutnya mengekang dirinya agar menguruskan kewangan negara dan belajar tentang isu fiscal dan kewangan.

“Dalam politik, dia hanya seekor kambing di kalangan ramai serigala. Dia boleh dimakan hidup-hidup dan kali ini Speaker pun tidak boleh menyelamatkan beliau lagi,” kata bekas Penasihat Media Perdana Menteri itu lagi.

Sebelum ini, orang ramai dapat melihat secara langsung bagaimana Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun menyelamatkan beliau selepas diserang kiri dan kanan.