Tentera AS serang masjid di timur Syria

Tentera AS serang masjid di timur Syria

Tentera Amerika Syarikat (AS) pada Khamis telah memusnahkan sebuah masjid di timur Syria, dan mendakwa rumah ibadat itu adalah pusat operasi kumpulan pengganas Daesh di kawasan tersebut, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan Pusat Pemerintah Tentera AS (CENTCOM).

Serangan itu dilakukan di bawah Operasi Inherent Resolve, gelaran tentera Amerika bagi campur tangan negara tersebut di Iraq dan Syria, dengan matlamat untuk menewaskan Daesh.

“ISIS terus mencabul Undang-Undang Konflik Bersenjata serta menyalah guna struktur yang dilindungi seperti hospital dan masjid, menyebabkan kemudahan itu kehilangan statusnya sebagai bangunan yang dilindungi,” menurut kenyataan itu yang menggunakan nama lain untuk Daesh.

CENTCOM berkata serangan itu telah membunuh pengganas Daesh yang menggunakan masjid tersebut sebagai pusat operasi, bagaimanapun, mereka tidak menyatakan jumlah yang terbunuh.

Serangan itu dilakukan di tengah-tengah pengunduran tentera Amerika dari Syria, yang pertama kali diumumkan oleh Presiden Donald Trump pada bulan lepas.

Sejak beberapa bulan lepas, AS telah melancarkan beberapa serangan ke atas masjid di seluruh Syria, yang didakwa menjadi tempat persembunyian pengganas Daesh, menyebabkan berpuluh-puluh orang awam terbunuh.

Minggu lepas, AS telah melancarkan serangan ke atas sebuah masjid di utara Syria sehari selepas empat rakyat Amerika, termasuk dua anggota tentera, maut dalam satu serangan bunuh diri yang didakwa dilakukan oleh Daesh di Manbij.

— BERNAMA