Malaysia Dateline

Tentera didakwa dibayar RM300 untuk undi awal di Parlimen Bera, Anwar dedah

Anggota tentera di Parlimen Bera yang ditandingi Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa telah membuat pengundian awal untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pegawai-pegawai tentera ini juga dikatakan dibayar sebanyak RM300 untuk mengundi sedangkan pengundian awal ditetapkan pada 15 November nanti.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di Kuala Terengganu mendakwa, beliau mempunyai bukti kukuh mengenai perkara itu dan meminta agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia mengemukakan jawapan segera berkenaan hal itu.

“Saya menerima maklumat sahih bahawa anggota tentera telah mula mengundi pagi ini (melalui) undi pos. Ia melanggar peraturan SPR. Mereka dibayar RM300.

“Soalnya mengapa dan bagaimana SPR boleh izinkan kalau mereka tahu undi awal yang sepatutnya 15 November.

“Bagaimana (undi awal) boleh dijalankan hari ini, saya bimbang kerana unsur wang, unsur tekanan (dan) unsur penipuan yang berlaku kerana ada bukti,” katanya.

SPR menetapkan hari mengundi pada 19 November ini menakala bagi pengundian awal pada 15 November. Pengundian awal biasanya melibatkan anggota pasukan keselamatan, termasuk polis dan tentera, serta petugas agensi-agensi lain.

Susulan itu, Anwar meminta SPR mengambil tindakan tegas sebelum rakyat bangkit kerana ia boleh mencemarkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, undi yang dilakukan itu mesti dibatalkan dan anggota yang terbabit perlu mengundi semula pada 15 November depan.

Baca juga: Happy Amtasary Baby – Pasangan terhibur kedai salah eja anniversary, siap nyanyi lagu birthday pula

Baca juga: Lelaki Cina tersipu malu dapat kejutan hari lahir dengan aluan kompang, netizen ‘okay’, tak anggap ia sensitif