Tentera dilatih jadi pembunuh profesional bukan hanya makan dan minum, kata Patriot

Tentera dilatih jadi pembunuh profesional bukan hanya makan dan minum, kata Patriot

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) membidas cadangan yang dianggap sebagai tidak masuk akal untuk mengalihkan tenaga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke dalam sektor kerja perladangan menggantikan pekerja asing di ladang-ladang Felda.

Presidennya, Datuk Mohamed Arshad Raji (B) meluahkan rasa kesal dengan anggapan buruk terhadap peranan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti yang diperlihatkan menerusi penulisan Koon Yew Yin dalam blog ahli perniagaan itu.

“Mereka adalah pembunuh profesional dan kesemuanya mahir dalam peranan masing-masing. Mereka melakukan pekerjaan yang tidak dapat dilakukan orang awam. Mereka dilatih untuk melalui dan menanggung kesulitan.

“Mereka semua sedar di saat mereka bersetuju untuk disenaraikan sebagai tentera, mereka perlu bersedia untuk mati, malah berkorban untuk kejayaan misi penting.

“Berada dalam keadaan selamat sepanjang masa tidak bermakna anggota tentera tidak melakukan apa-apa, seperti apa yang diperkatakan Koon,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini, yang mengulas catatan hartawan Perak itu di halaman blognya yang mendakwa anggota tentera tidak melakukan apa-apa melainkan makan dan tidur.

Malah, beliau turut mengingatkan bahawa isu ini bukanlah kali pertama diutarakan, dan ini menunjukkan ketidaktahuan Koon terhadap peranan angkatan bersenjata.

“Inilah kali kedua dalam masa kurang dari dua bulan seseorang melihat kakitangan tentera sebagai buruh murah.

“Kali pertama ialah ketika mantan Ketua Menteri Sabah Harris Salleh mencadangkan mengalihkan anggota tentera yang berlebihan untuk “membantu kerajaan menaikkan dan menstabilkan komuniti kampung luar bandar”, termasuk menghantar mereka untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan dan kakitangan wanita untuk membantu membersihkan rumah dan menjalankan kursus untuk suri rumah.

“Pada masa ini sebenarnya kami mempunyai pasukan dalam misi perdamaian asing, rondaan maritim dan menjaga sempadan negara kita. Ini adalah misi di mana tentera berada dalam keadaan bahaya,” ujarnya.