Malaysia Dateline

Tentera Malbatt berada dalam siap siaga hadapi krisis di Lubnan

Petugas Batalian Malaysia (Malbatt 850-6) masih berada dalam keadaan berjaga-jaga dan sentiasa bersedia susulan serangan balas roket dan tembakan artileri antara tentera Israel dan Hezbollah di Lubnan  semalam.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan malam ini berkata,susulan kejadian yang berlaku pada jam 4.00 petang wantu tempatan itu hanya memberi kesan kepada petugas United Nations Interim Force In Lebanon (Unifil) yang berada di sempadan Israel-Selatan Lubnan (Blue Line) sahaja.

“Kawasan terjejas tidak melibatkan kawasan tanggungjawab penugasan Batalion Malaysia (MALBATT 850-6).

“Walau bagaimanapun pihak Markas Unifil telah mengeluarkan arahan untuk semua
batalion negara-negara terlibat termasuk Malaysia melalui pasukan MALBATT 850-6 berada dalam keadaan berjaga-jaga dan sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan.

“Setakat ini Malbatt 850-6 masih dalam keadaan terkawal dan selamat serta melaksanakan rutin operasi yang meliputi rondaan di sekitar kawasan tanggungjawab dan kawalan kem seperti biasa,” kata kenyataan itu.

Dalam serangan yang berlaku semalam Tentera Israel berkata, peluru berpandu antikereta kebal dibedil dari Lubnan yang mensasarkan pangkalan dan kenderaan tentera dan ia bertindak balas dengan melepaskan tembakan ke selatan negara itu.

Kumpulan Hizbullah di Lubnan berkata, pejuangnya memusnahkan kenderaan tentera Israel, mengorbankan dan mencederakan mereka yang berada di dalamnya.