Malaysia Dateline

Tentera siber Pas selar pimpinan parti lambat bagi penerangan, ahli banyak dihentam

Tentera Siber Pas menganggap media penerangan parti itu sangat lemah dari sudut penyampaian dan fakta sehingga ahli bawahan seringkali dihentam menyebabkan mereka berundur dan menyepi tidak mempertahankan parti sendiri.

Menerusi Facebook ‘PAS CyberTrooper’, pengendali akaun itu mendakwa, segelintir menteri Pas gagal memahami skop kerja dan lambat menjawab isu yang terpalit sehingga menjadi barah baru ‘terhegeh’ mahu menjawab.

Tentera siber Pas itu juga mengulas tindakan tidak wajar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengulas isu titah Yang di-Pertuan Agong sehingga diserang dan disiasat.

“Lihat Harakah sudah lah bulan ini saja berapa kali padam berita, jadi macam mana ahli bawahan ini tak kena hentam? Akhirnya ahli-ahli bawahan berundur dan menyepi, salah siapa?

“Lihat Yb Takiyuddin, pandai-pandai ulas titah Agong akhirnya kena serang dan disiasat. Patutnya siaran langsung hari itu beliau perlu memberi jawapan selamat sekurang-kurangnya menyatakan ‘kerajaan akan berbincang’. Buat live elok dah tapi jawapan kelaut,” tulis Facebook itu.

PAS CyberTrooper juga mengkritik tindakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang mengulas kenaikan minyak yang bukan di bawah kendaliannya.

Menurutnya, menteri Pas itu tidak mahu mengulas isu Lembaga Getah Malaysia (LGM), tetapi isu kenaikan minyak masak pula yang dijawabnya.

“Ini tidak, isu LGM tak mahu ulas tapi isu kenaikan harga minyak masak pula dia tolong terangkan sedangkan harga minyak masak di bawah KPDNHEP iaitu menteri Alenxander Nanti Linggi, patutnya beliau yang kena jelaskan. Ini tak pasal-pasal rakyat hentam Khairuddin dan parti Pas,” tulis hantaran Facebook itu.

Admin tentera siber parti Islam itu juga berkata, mereka terpaksa menghantar mesej kepada Khairuddin untuk mendapatkan maklumat sebenar berkaitan LGM supaya mereka boleh pertahankannya, tetapi mendakwa tiada jawapan dari menteri.

“Tapi sampai kesudah tak ada jawapan. Akhirnya terpaksa Google sana sini, buka web LGM untuk tahu maklumat. Sampai ke tahap itu.

“Kadang-kadang perlu jadi ‘fighter’ seperti Menteri Besar Kedah, bila ada isu terus buat sidang media. Berapa banyak isu dia ‘fight’? Kuil hindu, air, isu-isu fitnah semua dia jawab, sekurangnya rakyat tahu apa yang sedang berlaku,” luahnya lagi.

Mereka juga meminta pimpinan dan media penerangan Pas untuk cepat memberi penerangan dan jawapan yang tuntas supaya ahli bawahan dapat menyebarkan maklumat dan bukannya membiarkan ahli terkial-kial mencari bahan untuk pertahankan parti.