Tentera Venezuela tolak presiden yang tidak dilantik secara sah

Tentera Venezuela tolak presiden yang tidak dilantik secara sah

Tentera Venezuela tidak akan menerima seorang presiden yang tidak dilantik mengikut perlembagaan negara itu, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan menteri pertahanan pada Rabu selepas seorang pemimpin pembangkang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara Venezuela.

“Kekecewaan dan sikap enggan bertoleransi seperti ini boleh mengancam keamanan negara. Tentera tanah air tidak akan menerima seorang presiden yang dilantik dalam bayangan dengan kepentingan tersembunyi atau melantik diri sendiri tanpa mengikut lunas undang-undang,” kata Vladimir Padrino Lopez dalam satu kenyataan di Twitter.

Presiden AS Donald Trump turut mengiktiraf pemimpin pembangkang Venezuela Juan Guaido sebagai presiden sementara negara itu, yang menyebabkan hubungan antara Washington dan Maduro semakin tegang serta panas.

Guaido adalah Presiden Perhimpunan Kebangsaan Venezuela, yang enggan diiktiraf dan telah dilucutkan kuasanya oleh Maduro meskipun mendapat pengiktirafan berterusan di peringkat antarabangsa.

Angkatan Bersenjata Kebangsaan Bolivarian atau FANB, mempertahankan Perlembagaan Venezuela “dan merupakan penjamin kedaulatan negara,” kata Lopez.

Maduro telah berulang kali menyelar AS dan berkata Washington kini melancarkan serangan ekonomi terhadap beliau dan kerajaannya susulan satu kempen sekatan secara besar-besaran.

Venezuela telah digegarkan oleh tunjuk perasaan sejak 10 Jan apabila Maduro dilantik semula sebagai presiden bagi penggal kedua selepas pembangkang memboikot pengundian.

Satu tunjuk perasaan besar-besaran pimpinan Perhimpunan Kebangsaan yang dikuasai pembangkang akan diadakan pada pukul 7.30 malam waktu tempatan (0400GMT) bagi menggesa penganjuran pilihan raya yang bebas dan adil.

Pada Isnin, sejumlah 27 anggota tentera yang bangkit menentang kerajaan telah ditangkap.

— BERNAMA