Tentera Yaman kuasai semula lapangan terbang Aden

Tentera Yaman kuasai semula lapangan terbang Aden
Foto: Reuters.

Tentera kerajaan Yaman kuasai lapangan terbang Aden yang ditawan puak pemisah selatan, lapor agensi berita Anadolu memetik sumber tempatan pada Rabu.

Sumber itu berkata pasukan tentera kerajaan berpindah ke daerah Mualla dan Tawahi di pusat bandar.

Perkembangan terbaru itu berlaku beberapa jam selepas tentera kerajaan merampas wilayah Abyan daripada puak pemisah Majlis Peralihan Selatan (STC).

“Pasukan tentera tiba di bandar itu dari wilayah Abyan dan Shabwa selepas membebaskan dua bandar dikuasai STC,” menurut sumber tempatan.

Awal bulan ini, puak pemisah selatan menguasai semua bangunan kerajaan di Aden selepas bertembung dengan pasukan kerajaan.

Yaman dicengkam keganasan sejak 2014, ketika pemberontak Shia Houthi menguasai kebanyakan negeri, termasuk ibu kota Sanaa.

Konflik terus memuncak pada tahun berikutnya apabila Arab Saudi dan sekutunya melancarkan kempen serangan udara besar-besaran bertujuan merampas semula negeri dikuasai Houthi.– BERNAMA