‘Teorem Mahiaddin’ boleh diatur sebagai penerima Anugerah Nobel

Oleh ARIF ATAN

Episod demokrasi Malaysia hakikatnya telah dicabul. Pencabulan ini dimulai oleh Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih melalui pilihan raya dikhianati dan ditumbangkan.

Episod kedua adalah Langkah Covid-19 di mana Parlimen telah dikelirukan oleh seorang menteri yang juga merupakan Ahli Parlimen mewakili Parti Islam sehinggakan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Proklamasi Darurat dibahas dan diungkaikan di Parlimen tidak berlaku malah dikelirukan.

Dan yang ketiga, Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin telah mengabsahkan dirinya sendiri bahawa beliau mempunyai cukup bilang untuk terus menerajui negara tanpa menguji bilangan tersebut secara sah dan mengikut proses Perlembagaan.

Hakikatnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini adalah tidah stabil, didukung oleh Kabinet tidak berfungsi (nonfunctional cabinet) yang besar dan menteri yang tidak kompeten, berkepentingan dan tidak memiliki pemikiran strategik.

Pada 5 Ogos lalu, jumlah kes baharu Covid-19 telah melangkaui angka 20,000. Apakah kerajaanPN ini semakin buta, tuli dan bengap, masih dengan keangkuhan sedang pada hakikatnya mereka gagal melaksanakan proses pemulihan?

Kes baharu bertambah, angka kematian meningkat, jumlah vaksinasi yang mampu dilaksanakan tidak mencukupi dan rakyat makin menderita dengan kesempitan kehidupan.

Ini belum mengambil kira jumlah yang menghidap penyakit mental, demam terperuk dan kemurungan, hilang tempat bergantung serta masalah rumah tangga.

Data sehingga Mac lalu, sejumlah 336 kes bunuh diri dilaporkan kepada PDRM! Ini berbanding 631 kes bunuh diri dilaporkan pada 2020, dan 609 kes pada 2019. Ini menunjukkan situasi serius hanya pada suku pertama tahun ini.

Rakyat Malaysia dan masyarakat Melayu terutamanya amat kecewa dengan Umno. Umno merupakan parti yang telah menerajui kepimpinan negara sejak sekian lama telah diperkotak-katikan oleh Bersatu, parti setahun jagung.

Memecahkan tradisi

Kepimpinan Umno sejak zaman kepimpinan Tunku Abdul Rahman mempunyai ‘command’ yang sangat kuat kepada anggota Majlis Tertinggi (MT) dan ahli-ahlinya. Namun, kini Bersatu telah dilihat berjaya memecahkan tradisi kepimpinan kuat Umno.

Presiden dengan Naib-Naib Presiden serta sebilangan Ahli Parlimen mempunyai arah kemudi yang tidak sama. Walaupun pada hakikatnya Presiden dan MT telah memutuskan untuk menamatkan sokongan dan dukungan terhadap Mahiaddin dan kerajaan PN, namun nampaknya tindakan yang sedang berlaku tidak seiringan dengan keputusan MT.

Malah, ada yang sedang mengemudi dan memberi arahan berlawanan dengan kepimpinan. Hal ini belum pernah separah ini berlaku dalam kelangsungan kepimpinan Umno.

Dengan situasi semasa, negara di bawah kerajaan PN tidak pernah bangkit kembali dari sudut pembangunan kembali sektor ekonomi, terutama perkilangan, peruncitan, kewangan dan lain-lain.

Pasaran saham juga tidak menggambarkan suasana yang sihat. Pelaburan baharu hampir tiada sama ada dari Eropah, Jepun, Korea, negara-negara Arab mahupun Amerika Syarikat (AS).

Peluang pekerjaan baharu hampir mengalami kelumpuhan dan rakyat yang hilang pekerjaan dan pendapatan semakin meningkat. Ini menunjukan tiada pendekatan rangsangan ekonomi yang kuat telah disediakan oleh kerajaan.

Selagi proses pemulihan negara tidak membuahkan hasil dengan ditambah pendekatan yang gagal, maka untuk bangkit semula melalui strategi kerajaan gagal ini amat mustahil.

Bagi menghadapi situasi semasa, strategi sektor perekonomian dan perniagaan dalam negara harus bertindak balas dengan pantas dan tegas (to react in agile and decisive ways).

Inilah suatu kemampuan yang tidak dimiliki oleh kerajaan sekarang, kerana kesibukan hanya untuk berkuasa dan membeli-belah untuk sokongan politik kekuasaan!

Sepatutnya, ketika melangkah ke fasa berikutnya, sekarang adalah waktunya bagi perniagaan untuk mencari dan merebut peluang yang muncul dalam pemulihan.

Ini melibatkan melakukan “tinjauan selepas tindakan” atau “after-action review” untuk mengumpulkan data dan pandangan mengenai pelajaran dan pengetahuan yang dipelajari dari pandemik, dan kemudian menggunakannya untuk meletakkan keutamaan tindakan untuk meningkatkan nilai perniagaan dan ekonomi hari ini dan membina ketahanan strategik untuk hari esok.

Penasihat gagal

Fasa-fasa peralihan dalam pelan pemulihan negara sebenarnya tidak mempunyai nilai dan amalan terbaik (good value and practices).

Sektor perekonomian yang mengambil langkah-langkah terbaik ini sekarang akan berada di tempat yang baik untuk memanfaatkan dengan lebih berkesan peluang yang meningkat dalam pemulihan pasca-Covid-19 dan untuk terus menang di pasaran dengan kepastian dan kestabilan yang lebih tinggi.

Namun, ini tidak berlaku dalam polisi dan strategi pemulihan negara. Malah, apa sahaja pandangan dan kritikan terhadap polisi dan pendekatan punah-ranah kerajaan nampaknya tidak akan dipedulikan, malah akan menjadi ‘dalil’ dan ‘fatwa’ oleh Duta Bertaraf Menteri ke Timur Tengah untuk memperlekehkan segala pandangan kritikal dari pihak lain.

Tambahan lagi, Mahiaddin kini telah mempunyai seorang lagi Penasihat Khas bertaraf menteri, Datuk Seri Faizal Azumu bekas Menteri Besar Perak. Bagaimana mungkin seorang yang gagal dari Edith Cowen University Australia menjadi penasihat Perdana Menteri. Sudahlah kerajaan gagal, penasihat juga seorang yang gagal!

Jadi, apa lagi yang kita rakyat harapkan dari kerajaan yang serba-serbi gagal, gagal dalam menghadapi pandemik Covid-19, gagal dalam strategi dan proses pemulihan ekonomi, gagal menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen blok kerajaan dengan jujur, adil dan berintegriti, gagal dalam menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk membahas dan mengungkaikan darurat melalui Parlimen. Apakah harapan lagi yang kita ada sebagai rakyat. Untuk mereka berundur, jauh sama sekali.

Walaupun setelah sejumlah lapan Ahli Parlimen Umno menyatakan tidak lagi menyokong Mahiaddin dan kerajaan PN, namun majoriti mereka masih utuh! Dari manakah angka itu diperolehi?

Teorem matematik apakah digunakan supaya PN mencapai angka kekal sebagai kerajaan dan Mahiaddin sebagai Perdana Menteri?

Mungkin juga “suatu urusan perniagaan” sedang berlaku untuk menjadi parameter matematik (mathematical parameters) memperoleh cukup bilang majoriti kerajaan PN.

Teorem matematik politik PN ini, bolehlah dicatat sebagai “Teorem Mahiaddin” dan mungkin boleh diatur sebagai penerima Anugerah Nobel!

*DR SHAHNOR BASRI merupakan Felo Akademi Sains Islam yang berpengkalan di Jordan. Tulisan ini adalah merupakan pandangan penulis dan tidak menggambarkan pendirian akademi.