Terapkan mentaliti juara dalam jelajah Eropah, kata Kapten Pasukan Hoki

Terapkan mentaliti juara dalam jelajah Eropah, kata Kapten Pasukan Hoki

Skuad hoki lelaki kebangsaan perlu menerapkan mentaliti juara dalam siri Jelajah Eropah jika mahu layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, kata kapten pasukan Mohamad Sukri Abdul Mutalib.

Beliau berkata, mentaliti yang ada pada pasukan-pasukan seperti Jerman, Sepanyol, Ireland, England dan Belanda, menjadikan mereka sebagai antara pasukan yang terbaik dan digeruni di dunia.

“Apa yang kami mahu pelajari dari siri Jelajah Eropah ini adalah persefahaman antara pemain dan mentaliti. Pasukan dari Eropah mempunyai kemahiran hoki yang baik dan mampu bermain dalam keadaan tertekan, perkara ini yang kami ingin serapkan dalam pasukan.

“Cabaran sememangnya getir tapi kami ambil dengan positif dan jika dapat mencipta kemenangan, secara tidak langsung dapat memotivasikan pasukan untuk kelayakan Olimpik (pada November) nanti,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam ini, sebelum berlepas ke Jerman.

Mohamad Sukri turut berharap penekanan terhadap aspek menyerang oleh ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans sepanjang kem latihan selama enam minggu sebelum ini, dapat membuahkan hasil di Eropah nanti.

Dalam pada itu, Oltmans berkata aspek menyerang sering ditekankan dalam kalangan pemain kerana beliau menganggap jaringan akan memberi kelebihan besar ketika bertemu pihak lawan dari Eropah.

“Kita bermain dengan baik tapi tidak konsisten, ini yang mengakibatkan adakalanya kita tewas, jadi kita beri tumpuan untuk baiki bahagian serangan, jadi sekarang nampak lebih baik. Jika kita dapat buktikannya dalam menentang pasukan dari Eropah, ia satu kemajuan yang sangat besar,” katanya.

Seramai 20 pemain terpilih ke siri Jelajah Eropah, di mana skuad negara akan berkelana di Eropah sehingga 12 Ogos ini.

Malaysia akan bertemu Jerman pada Khamis ini sebelum ke Terrassa, Sepanyol untuk menyertai Kejohanan Empat Penjuru dengan aksi pertama berdepan pasukan tuan rumah pada 1 Ogos, diikuti Ireland (2 Ogos) dan England (4 Ogos).

Seterusnya skuad Malaysian Tigers akan ke Breda untuk perlawanan persahabatan menentang pasukan Belanda pada 6 dan 8 Ogos, manakala destinasi terakhir adalah di Antwerp, berdepan Belgium pada 9 dan 12 Ogos.- BERNAMA