Terapkan rahmah dalam pentadbiran kerajaan baharu di setiap peringkat

Terapkan rahmah dalam pentadbiran kerajaan baharu di setiap peringkat
Bual bicara Fastabiqul Khairat: Forum Khas Malaysia Negara Rahmah yang mebariskan panel Datuk Abdul Ghani Shamsudin dan Datuk Mohd Daud Bakar dan moderator Ustaz Dr Ravi Abdullah.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim, Datuk Abdul Ghani Shamsuddin menyifatkan reformasi negara berkait rapat dengan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai nilai Rahmah atau Rahmatan lil-alamin.

Beliau berkata, Islam perlu bersandar pada realiti dan menterjemahkannya dalam beberapa program yang menunjukkan kebaikan Islam seperti program menentang rasuah dan keseimbangan dalam menilai.

Datuk Abdul Ghani Shamsuddin

Beliau turut memberi contoh dengan penilaian yang dibuat rakyat Malaysia terhadap kerajaan yang tidak sampai setahun memerintah jika dibandingkan dengan 61 tahun pemerintahan lalu.

“Kita memilih untuk mereformasi dan melakukan pembaharuan dalam pentadbiran negara. Tapi anda tidak adil jika menyalahkan kerajaan yang hanya 11 bulan mentadbir ini dan membandingkan dengan kerajaan lepas yang mentadbir selama berpuluh tahun.

“Ini pemikiran serabut dan tidak adil sehingga mengatakan pemimpin-pemimpin hebat sebagai Pak Pandir. Mereka baru 11 bulan. Sebab itu dalam demokrasi, kita bagi 5 tahun. Lepas 5 tahun dan mereka gagal, baru lah kita buat penilaian. Kata-kata yang kita keluarkan hari ini menunjukkan kita tidak berhati-hati.

“Kecelakaan akan berlaku jika politik yang rosak akibat golongan jahat berkuasa telah dianggap mulia, manakala golongan yang ingin membetulkan urus tadbir kerajaan pula di anggap sebagai celaka,”katanya yang mengingatkan keterbatasan pemimpin hari ini kerana terpaksa akur dengan kesenjangan realiti.

Beliau menegaskan supaya orang Islam memahami konsep syariah sebagai agama hidup yang boleh memulihkan masyarakat Islam serta memberi peluang yang adil kepada pemimpin-pemimpin pentadbir membawa negara Islam ke arah kemajuan.

Beliau berkata demikian ketika bual bicara Fastabiqul Khairat: Forum Khas Malaysia Negara Rahmah dan Pelancaran Buku Fastabiqul Khairat di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya.

Datuk Mohd Daud Bakar

Panel jemputan yang turut hadir dalam forum  itu  Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (Yapeim), Datuk Mohd Daud Bakar .

Beliau pula berkata, negara kini berdepan dengan cabaran menterjemahkan konsep rahmah dalam bentuk polisi, masyarakat, dan negara dalam memastikan ia merentasi kesemua Jabatan Kementerian di negara ini.

Beliau berkata, konsep mengejar kebaikan perlu dikembangkan lagi dan dimainkan peranannya dalam pentadbiran kerajaan hari ini.

Katanya, Rahmah dan Rahmatan lil-alamin boleh berada dan diamalkan di semua tempat cuma ianya tidak pernah dibincangkan untuk dijadikan sebagai tema kehidupan.

“Rahmah yang kita bawa ini bukan retorik semata-mata. Ia tidak mungkin dan adalah mustahil jika rahmah yang paling banyak disebut di dalam alquran sebenarnya retorik.

“Apa yang saya nak tekankan, kita perlu naratif skrip yang baru dan menampilkannya pada rakyat tanpa ada kekurangan atau tokok tambah kerana agama telah memberikan ‘dos’ yang cukup.

“Skrip yang dibina nanti perlu dikurangkan politiknya. Skrip politik berbeza dengan skrip kita. Kita perlu menerangkan bukan menyerang. Oleh kerana itu, skrip atau naratif yang dibina, perlu menjurus kepada penyatuan Islam.

“Penampilan Islam juga perlu dimodenkan dan dikontemporarikan penyampaiannya untuk berhubung dengan masyarakat islam sendiri dan juga bukan islam. Kita perlu menterjemahkan segala mesej kebaikan dalam bahasa moden yang mudah difahami,” katanya.

Turut hadir Yang Dipertua Yadim Nik Omar Nik Abdul Aziz dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkefli Mohamad Al Bakri.

BacaTiga panduan Yadim