Malaysia Dateline

Teras desak wujudkan ‘bank tanah’ elak tanah wakaf disalah guna

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) memberi perhatian serius terhadap isu pengurusan tanah wakaf yang didapati ada terjual akibat kecuaian pihak yang bertanggungjawab menjaga tanah wakaf.

Presiden Teras, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, terdapat kira-kira 11,091.82 hektar tanah wakaf yang masih terbiar dan tergendala untuk dimajukan sehingga tahun 2016.

“Kami dapati kawalan, pemantauan dan maklumat mengenai tanah wakaf tidak dikemaskini pihak yang menguruskan selain tiada tenaga pakar menyebabkan banyak urusan tanah wakaf tidak direkod.

“Sebab itu perlu diwujudkan ‘bank tanah’ bagi memantau kerana terdapat tanah wakaf yang disalah guna dan didirikan projek yang tidak memenuhi syarak wakaf,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung isu pemeliharaan tanah rizab Melayu selepas hadir pada Perhimpunan Penggerak Melayu Kebangsaan ke-20 di Masjid Muhamad Al-Fateh di Ipoh hari ini.

Pada masa sama, pihaknya menggesa kerajaan mewujudkan sebuah badan khusus bagi menguruskan tanah rizab Melayu termasuk tanah persendirian agar tidak berlaku penguncupan yang dilihat berbahaya untuk masa depan orang Melayu.

Menurutnya, badan tersebut penting agar jumlah tanah yang dimiliki orang Melayu dipertahankan dan tidak terlepas ke tangan pihak yang tidak sepatutnya.

Azmi berkata, walapun sejak beberapa tahun lalu pihaknya telah mengemukakan syor kepada kerajaan tetapi sehingga kini tiada sebarang langkah diambil menyebabkan isu penguncupan tanah orang-orang Melayu terus berlaku.

“Sehubungan itu, kita akan mengambil langkah drastik iaitu untuk membuat desakan melalui kerjasama dengan beberapa NGO Melayu lain untuk kerajaan buat tindakan segera terhadap isu tanah rizab Melayu ini.

“Teras juga akan lancarkan kempen kepada pemilik-pemilik tanah orang Melayu agar tidak menjual (tanah) atau bangunkan tanah-tanah mereka untuk menjadi sumber ekonomi manakala agensi-agensi berkaitan turut sama perlu memainkan peranan mereka,” jelasnya.

Beliau turut berkata, pihak Perbadanan Pembangunan Bandar iaitu UDA atau kini dikenali UDA Holdings hari ini lebih berminat membina hartanah bernilai tinggi.

Walhal, tambahnya lagi, UDA sepatutnya berperanan sebagai agensi yang membangunkan hartanah orang Melayu.