Teras gesa kerajaan kaji SPB supaya martabatkan kembali Bahasa Kebangsaan

Teras gesa kerajaan kaji SPB supaya martabatkan kembali Bahasa Kebangsaan

Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) menggesa kerajaan mengkaji semula pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (SPB) sebagai syarat am kelayakan memasuki institusi pengajian tinggi awam.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata jika SPB tidak mengutamakan Bahasa Kebangsaan maka kerajaan perlu menilai semada ia bercanggah dengan Akta Bahasa Kebangsaan.

Katanya, Bahasa Kebangsaan dalam SPB hanya sebagai sampingan kerana Bahasa Melayu tidak dilihat sebagai subjek wajib untuk dikuasai.

“Kerajaan perlu memastikan pelajar memperolehi kepujian Bahasa Kebangsaan sebagai syarat utama yang mesti ditekankan. Ini akan dicapai jika sistem peperiksaan selari dengan Dasar Bahasa Kebangsaan

“Janji manifesto PH untuk mengiktiraf SPB boleh dipenuhi tetapi dengan meletakkan syarat bahawa Bahasa Kebangsaan mesti dijadikan keutamaan sebagai bahasa pengantar dalam subjek akademik yang diajar selain matapelajaran bahasa.

“Selain itu, Dasar Kebudayaan Kebangsaan mesti diajar sebagai matapelajaran wajib,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, sekolah swasta aliran Cina dilihat kurang memberi perhatian terhadap isu ini dan menuntut SPB yang tidak mengutamakan penguasaan bahasa Kebangsaan diiktiraf.

Jelasnya, wujud pelajar dan guru di sekolah persendirian Cina tidak fasih bahasa kebangsaan malah tidak merasa perlu berbahasa Melayu akibat dari SPB yang tidak peduli dengan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmu.

Beliau turut menegaskan pengiktirafan berada ditangan kerajaan dan syarat pengiktirafan tersebut berpeluang membawa implikasi kepada Dasar Bahasa Kebangsaan.