Malaysia Dateline

Terbalikkan kereta Myvi sehingga pemilik rugi RM15,000, 7 individu mengaku bersalah

Minggu lalu selepas media melaporkan punca sebuah Myvi diterbalikkan kerana didakwa melakukan perbuatan langgar lari, timbul pula pendedahan baru dari orang awam yang dikatakan ‘plot twist’ kepada kejadian berkenaan.

Memetik sumber orang awam, kemalangan didakwa berpunca disebabkan kedua-dua pemandu dan penunggang saling mengejar lampu isyarat.

Disebabkan salah sangka, sekumpulan orang awam menyalahkan pemandu Myvi sebagai punca kemalangan dan bertindak merosakkan dan menterbalikkan Myvi berkenaan.

Terbaru, dilaporkan pemilik Myvi berkenaan mengalami kerugian kira-kira RM15,000 selepas tujuh individu didakwa menumbuk, menendang, menghentak menggunakan topi keledar, membaling batu dan menterbalikkan kereta terbabit secara beramai-ramai.

Susulan itu, kesemua individu berkenaan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan melakukan khianat dengan merosakkan dan menterbalikkan Perodua Myvi di Taman Kota Masai, Khamis lalu.

Empat daripada mereka merupakan penghantar makanan P-Hailing, manakala yang lain ialah penuntut, penjual topi secara dalam talian dan pembaiki mesin basuh serta televisyen.

Mohamad Hairul Hasraf Seeni Abdul Cader, 22; Morrisson Malvin Mada, 19; Shaikh Al Amin Idrus, 21; Nur Khairul Amal Abdul Harsir, 19; Daniel Haziq Syikhanna, 21; Romie Rahimi, 41 dan Muhammad Adam Abd Rahim, 18 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, semua lelaki itu didakwa bersama-sama melakukan khianat dengan merosakkan semua cermin dan pintu kereta serta menterbalikkan sebuah Perodua Myvi berwarna biru milik Tan Jing Hui, 21.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilah Ahmad Rofaie memaklumkan mahkamah bahawa kesalahan di bawah seksyen itu tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan jaminan.

Semua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu memohon supaya jumlah jaminan dicadangkan pendakwaan itu dikurangkan dengan alasan masing-masing hanya berpendapatan antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, tidak boleh mengganggu saksi dan mangsa selain perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi fakta dan hukuman pada 18 Disember depan.

Baca juga: Pengundi pertama India meninggal dunia pada usia 105 tahun 

Baca juga: Pelanggan tertinggal sepapan telur dekat homestay, lepas seminggu telur menetas jadi anak itik