Malaysia Dateline

Terbuka terima tetapi usah bawa tabiat lama

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berpendapat penyertaan bekas pemimpin Umno ke dalam Pakatan Harapan (PH) boleh diterima tetapi dengan syarat mereka mesti meninggalkan tabiat lama yang buruk.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, bekas wakil rakyat Umno yang mungkin mempunyai masalah integriti tentunya sukar untuk diterima mana-mana parti komponen PH.

“Semua parti komponen PH harus melihat secara terbuka untuk menerima sesiapa sahaja.

“Terpulang kepada kita untuk membuat tapisan terhadap mana-mana (bekas pimpinan Umno) yang mungkin mendatangkan beban atau masalah kepada PH pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Dateline di Ipoh, Perak malam tadi sempena Konvensyen Nasional AMANAH.

Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Tenaga Manusia berkata, setiap parti komponen PH mempunyai peraturan masing-masing untuk mengambil tindakan terhadap mereka terbabit jika melakukan hal yang melanggar semangat PH.

Mengulas lanjut minat bekas pemimpin Umno untuk bersama PH, Mahfuz berkata, Tun Dr Mahathir pun pernah ditolak sebelum ini.

“Hatta, semasa Anwar Ibrahim sebelum berlaku peristiwa terhadap dirinya pun (tahun 1998), kita menolak kerana dalam pertembungan kita – dia berada dalam Umno, kita di luar Umno.

“Apa lagi Mahathir, kita mempunyai sejarah pertembungan dengannya. Pada peringkat awal memang sukar untuk parti-parti pembangkang (sebelum PRU-14) untuk menerima Tun Mahathir.

“Begitu juga pada awal kewujudan Deklarasi Rakyat, sukar untuk rakan-rakan dalam PH termasuk AMANAH ketika itu di peringkat akar umbi untuk menerima kehadiran Tun Mahathir,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, akhirnya seseorang itu harus diberi peluang kedua untuk memperbaiki segala kesilapan yang mungkin pernah dilakukan.

“Kita terima atas dasar itu sebab Tuhan sendiri pun tidak mengambil kira perkara yang berlaku pada masa lalu tetapi melihat bagaimana pengakhiran hidup itu.

“Begitu juga orang-orang lain yang hendak menyertai PH. Kita juga harus melihat mungkin Tuhan sudah memberikan keinsafan kepada diri mereka untuk berubah,” ujarnya.

Habuan

Namun, hasrat bekas pemimpin Umno untuk menyertai PH, tegas Mahfuz, tidak harus bermotifkan kepentingan diri semata-mata.

“Saya mengingatkan kepada mereka yang telah atau ingin keluar dari Umno lantas mahu menyertai PH, mereka harus ingat masuk PH bukan untuk mencari habuan.

“Sikap untuk mencari kekayaan dan apa jua alasan tidak berkepentingan rakyat mesti dibuang. Masyarakat kita hari ini adalah masyarakat baru yang tidak lagi menerima pendekatan politik mementingkan seperti itu,” jelasnya.

Sebaliknya, beliau menegaskan bekas pimpinan Umno terbabit perlu mempunyai kejujuran dengan menumpukan kepentingan rakyat dalam sebarang keputusan dan tindakan mereka.

“Mereka perlu insaf dengan pelbagai masalah dan kepincangan lalu ketika berada dalam kerajaan.

“Bekas pemimpin Umno harus mereka tebus kesilapan mereka dengan ikhlas untuk membawa perubahan yang lebih baik terhadap masyarakat dan negara,” tambah Mahfuz lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Presiden akan membincangkan isu berkaitan penyertaan wakil rakyat dan ahli Umno ke dalam gabungan parti pemerintah itu.

Pada 12 Disember lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor, 13 wakil rakyat dan 21 ketua bahagian meninggalkan parti tersebut.