Naib Presiden AMANAH, Dr Hasan Bahrom menyifatkan calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri kelapan yang terbukti sudah diuji.
Menurutnya, pengundi di Port Dickson mesti mengundi Anwar kerana Ketua Umum PKR itu telah disepakati sebagai bakal Perdana Menteri kelapan.
“Kalau orang Port Dickson tak undi (Anwar), maka rugilah orang Port Dickson.
“Kita sudah tahu Anwar Perdana Menteri kelapan kerana keempat-empat parti dalam PH sepakat telah bersetuju.
“Sebabnya Anwar sudah diuji dari kekuatan fizikal, mental dan rohani. Belum ada lagi Perdana Menteri Malaysia yang dipenjarakan sebelum ini.
“Manusia seperti inilah yang kita mesti pilih sebagai Perdana Menteri. Beliau berjaya untuk berhadapan dengan keadaan itu,” tegasnya ketika berucap di PD Waterfront, Port Dickson, malam tadi.
Hasan yang juga Ahli Parlimen Tampin itu berkata, berbeza dengan calon-calon lain, mereka belum lagi diuji dari segi kekuatan fizikal, mental dan rohani.
“Seorang lagi, hanya pakai baju oren saja, belum masuk penjara. Belum diuji lagi,” sindirnya.
Dr Hasan berkata, Anwar boleh dibandingkan dengan Nabi Yusuf yang pernah dipenjara kemudiannya menjadi raja.
“InsyaAllah Anwar Ibrahim bakal mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat,” ujarnya lagi.
Ceramah kempen PRK di Port Dickson malam ini menyaksikan Anwar bergabung menyampaikan ceramah politik di pentas sama dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas 20 tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 7,268 pengundi awal bagi PRK Parlimen Port Dickson akan mengundi esok.
Daripada jumlah itu, 6,690 pemilih adalah dalam kalangan anggota tentera dan pasangan mereka manakala 578 adalah anggota polis.
P132 Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada 13 Oktober ini.
Mereka terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).