Malaysia Dateline

Terbukti Pas khianati rakyat bila mengaku berpakat pertahan regim kleptokrasi

Kempen perpaduan atau penyatuan ummah, yang digerakkan oleh dua seteru ketat Umno-Pas nampak berjalan lancar, malah kelihatan mudah dan cepat serasi sekali.

Agak ajaib juga bagaimana pakatan penbangkang Melayu ini boleh menyelaras kerjasama politik untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan dengan begitu pantas. Seolah-olah ada sesuatu yang magis bagi mengetepikan segala perbedaan dan permusuhan sejak lebih enam dekad lalu.

Apakah formula luar biasa yang diguna pakai atau penawar paling berkesan bagi meredakan dua kumpulan mega penyokong dan pendukung parti-parti yang saling bertegang leher merebut kuasa dan pengaruh selama ini?

Walaupun ada sekumpulan pemimpin Pas, yang digelar “profesional, progresif ala-Erdogan” mendakwa segelintir teraju parti yang berpengaruh, berhasrat membentuk “kerajaan perpaduan” di negeri Selangor dan Perak, sejurus PRU2008, ia disifatkan tohmahan tidak berasas.

Idea kerajaan perpaduan itu secara rasminya ditolak Pas, tetapi pemimpin yang “berangan-angan” menjalin kerjasama dengan Umno tidak mudah mengaku kalah. Perlahan-lahan Pas lebih kerap dan fasih berbicara soal kepentingan dan survival Melayu meskipun slogan yang ditonjolkan adalah “Pas for All”. Masa sama, Pakatan Rakyat yang mula mendapat sokongan memberangsangkan pengundi seakan-akan dilanda pergeseran dalaman.

Sekelompok pimpinan tertinggi Pas, seperti Timbalan Presiden Mohamad Sabu, naib-naib Salahudin Ayub, Husam Musa, Mahfuz Omar dan majoriti AJK Pusat, misalnya Khalid Samad, Hanipa Maidin, Dr Hatta Ramli, mengingatkan bahawa kebimbangan dan kegusaran terhadap adegan “main mata” parti itu dengan Umno, sememangnya berasas dan membawa kesan buruk kepada parti.

Di pihak bertentangan, kumpulan yang dilabel “Erdogan” ini pula dituduh “anti-ulamak, berfikiran liberal, tunduk kepada DAP, Anwarinas, tidak walak, sanggup menggadaikan prinsip Islam”. Lebih meruncing apabila presiden parti, Ustaz Abdul Hadi Awang dilihat cenderung kepada kelompok yang mesra-Umno dan menaruh syak wasangka kepada DAP dan Anwar Ibrahim, sekutu rapat dalam gabungan pembangkang.

Pendukung Umno dan Pas yang selama ini saling bertegang leher, kini semakin serasi.

Muktamar tahunan 2014 di Batu Pahat menyerlahkan Pas berdepan krisis dalaman yang serius. Walaupun tiada pemilihan kepemimpinan, perjalanan persidangan diganggu babak-babak tidak terduga. Bermula di muktamar Pemuda lagi, dan sebelumnya insiden menconteng kain pemidang di jalan; Mat Sabu menjadi sasaran. Kejutan apabila perbahasan diganggu “bacaan doa” yang sarat dengan kebencian dan digunakan untuk membelasah pihak bertentangan.

Keadaan hampir reda apabila barisan pemimpin menjawab persoalan yang ditimbulkan dalam sidang perbahasan. Tanpa diduga, presiden mengambil pendekatan berbeza sewaktu menggulung. Tiada lagi wajah dan nada seorang “bapa yang mendamaikan”; kritikannya keras dan lantang. Begitu beremosi sekali. Retak menjadi pecah berderai. Pas meniti saat-saat paling meruncing.

Tahun 2014 juga memperlihatkan PKR berdepan krisis menteri besar Selangor apabila cadangan menggantikan Khalid Ibrahim menempuh pelbagai rintangan. Awalnya Anwar dilihat bakal pengganti, melorongkan pilihan raya kecil Dun Kajang. Ia tidak semudah dijangka; Anwar berdepan hukuman penjara ekoran kes Liwat II. Calon seterusnya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, meskipun menang mudah PRK, tidak dipersetujui Pas pula. Akhirnya, krisis MB Selangor ini menyebabkan persefahaman Pas dan PKR terburai.

Menuju muktamar di Kuala Selangor, 2015, yang menyaksikan proses pemilihan parti, Pas bergelut sesama sendiri. Hala tuju parti menjadi tanda tanya. Mahu terus bersama gabungan pembangkang atau bersikap mesra-kerajaan. Pakatan Rakyat turut dibayangi pertentangan dalaman yang semakin serius.

Sebenarnya jikalau bagaimana sulit pun krisis melanda Pas dan Pakatan Rakyat waktu itu, ia masih ada jalan keluar. Tetapi apabila ada sebahagian pemimpin Pas yang berpengaruh sudah “bermain mata” dengan Umno dan mencari helah untuk berpakat dengannya dalam kerajaan, maka tahaluf siyasi yang terbina itu sedang menuju kehancuran. Memang mereka berterusan menafikan mahu bekerjasama dengan Umno, namun dalam politik, tidak semua urusan politik perlu dimaterai secara rasmi. Khususnya apabila dilihat mood akar umbi akan menolak gerak politik itu.

Imej Umno-Najib ketika itu juga berada pada kedudukan titik paling bawah. Serangan bertali arus dari dalam dan luar negara. Dr Mahathir Mohamad mengetuai asakan domestik. Media antarabangsa turut menyindir Malaysia negara klepatokrasi selain pendedahan yang memalukan. Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat memperincikan butiran kes kecurian dana rakyat Malaysia. Dalam keadaan itu, apakah Pas bersedia untuk berpakat dengan Umno-Najib?

Abdul Hadi dan Najib Razak pernah beberapa kali sepentas bersama dalam program.

Justeru, tidak banyak pilihan ada pada Pas walaupun niat di hati sebahagian pemimpin utamanya mahu berdakap dengan Umno-Najib. Gelombang penolakan penyokong Pas terhadap regim Najib cukup kuat. Maka strategi pertandingan tiga penjuru terpaksa dipilih, dengan serangan lebih ditumpukan atau disasarkan kepada sosok Dr Mahathir. Malah Najib, selepas kalah PRU14 beberapa kali mengakui pertembungan tiga penjuru itu dipercayai akan menyebabkan BN kekal berkuasa, seperti ditunjukkan dalam dua PRK sebelumnya, di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak.

Ia disifatkan strategi yang salah apabila mengandaikan undi pembangkang akan berpecah dua, dengan tidak menduga lebih ramai penyokong BN akan berpaling tadah. Bagi majoriti pengundi Melayu di Pantai Timur dan utara Semenanjung, personaliti Dr Mahathir masih dicurigai, meskipun mereka juga menolak Umno-Najib. Pas beruntung dalam situasi itu.

Hasilnya, Pas menang besar di Kelantan dan Terengganu. Lebih mengejutkan ia hampir menguasai Dun Kedah walaupun Jelapang Padi itu mempunyai jumlah pengundi non Muslim yang relatif ramai dan signifikan. Namun begitu, pemimpin Pas seperti tidak gembira dengan kejayaan itu. Mungkin mereka mengharapkan dapat membentuk kerajaan campuran bersama Umno, tetapi realiti pahitnya terpaksa menyaksikan Dr Mahathir dilantik semula perdana menteri dan sekutu ketatnya dari Parti Amanah Negara menjadi anggota kabinet termasuk menteri kanan!

Bekas pemimpin-pemimpin Pas yang dikatakan “progresif” inilah yang sering mengingatkan ahli parti tentang hasrat songsang segelintir pemimpin utama yang mahu mengadakan kerjasama dengan Umno sejak 2008 lagi. Malangnya mereka yang berniat baik itu dituduh menyebarkan fitnah dan mahu merosakkan parti sehingga akhirnya ditendang dari saf kepimpinan. Kerjasama Pas-Umno itu dinafikan sekeras-kerasnya. Malah Pas dianggap lebih selesa dan bertambah kuat apabila bersendirian.

Kita tidak menunggu lama untuk menanti terbongkarnya cerita sebenar episod “kasih-sayang” Pas-Umno ini. Pertama, Najib sendiri mendedahkannya apabila bercerita dia dan Ustaz Hadi sudah menjalin hubungan rapat sebelum PRU14 lagi, termasuk berbincang di waktu malam mengenai RUU355. Rang undang-undang itu juga dilihat umpan Umno untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat, yang akhirnya mendedahkan hipokrasi dan motif sebenar Umno.

Baru-baru ini, dalam ceramah penyatuan ummah di Pasir Mas, Malaysiakini melaporkan, Timbalan Mursyidul Am Pas Ahmad Yakob mengakui kerjasama antara partinya dengan Umno sudah diusahakan oleh kepimpinan kedua-dua parti sejak sebelum PRU14. Bagaimanapun, katanya yang juga menteri besar Kelantan itu, Allah mentakdirkan kerjasama itu tidak berlaku pada masa itu.

Sinar Harian, 27 September, juga melaporkan kenyataan sama: Tanpa berselindung Timbalan Mursyidul Am, Datuk Ahmad Yakob mendedahkan usaha kerjasama antara kedua-dua parti itu sudah digerakkan sebelum PRU14 namun tidak diizinkan oleh Allah.”

Ahmad Yakob dedah usaha kerjasama Umno-Pas sudah digerakkan sebelum PRU14.

Mungkin berita tersebut jika dibaca dalam konteks semasa, tidak menjadi isu khususnya di kala Pas-Umno sedang memadu kasih. Cuba dibaca dalam suasana kita berdepan PRU14 lebig 16 bulan lalu. Sewaktu rakyat ghairah dan bertekad sebulatnya mahu menumbangkan kerajaan pencuri Umno-Najib, tiba-tiba di sebalik tabir, Pas melalui sebahagian pemimpin tertingginya berlaku curang dan khianat, berusaha untuk mengekalkan kuasa regim bobrok itu.

Maka tidak hairanlah pakatan kedua-dua parti pembangkang ini nampak mudah serasi dan mesra. Secara senyap ia sudah terjalin lebih sepuluh tahun lalu. Justeru, mudahlah pemimpin Pas menyanyikan lagu Umno dengan bersemangat sekali. Kasih yang dipupuk satu dasawarsa lalu telah membuahkan hasil.

Saya tetap menganggap babak-babak kritikal Pas mengkhianati aspirasi rakyat ini sebagai momen terpenting menilai komitmennya terhadap prinsip perjuangan. Kita tidak mahu tertipu dengan muslihat yang dipendamkan itu walaupun pada akhirnya strategi tersembunyi itu menemui kegagalan. Ya, Pas gagal menyelamatkan sebuah regim yang korup; kalau tidak negara kita akan terus diterajui secara tidak langsung oleh Jho Low, yang menguasai sepenuhnya Najib, seperti didedahkan di mahkamah dalam perbicaraan 1MDB itu.