Tercapaikah hikmah ibadah korban hari ini?

Oleh NASUHA RAHMAN

Amalan korban hari ini dilihat semakin terhakis hikmahnya dan ada yang menganggap hanya 70 peratus sahaja hikmah sebenar diperoleh di sebalik ibadah korban yang dilakukan.

Timbalan Pengerusi AMANAH Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamed melihat hikmah ibadah korban pada hari ini telah hilang dan ianya semakin bertukar menjadi satu “Budaya Keagamaan”.

Beliau berkata, antara hilangnya hikmah itu misalnya hubungan antara “ahli korban” dengan “penerima daging korban” terputus di mana ahli korban hanya tersenyum puas setelah duit dipindahkan ke akaun, manakala mereka yang menguruskan ibadah korban adalah Ngo’s atau penganjur ibadah tersebut.

“Mereka yang melakukan ibadat ini sekadar memasukkan duit dalam akaun penganjur, kemudian segala galanya terserah kepada kejujuran dan keihklasan penganjur menyempurnakan korban tersebut,” ujar beliau di Facebook.

Selain itu, katanya, harga binatang korban menjadi mahal berkali ganda berbanding pasaran biasa di mana situasi ini sudah tentu satu bentuk manipulasi dengan mengambil kesempatan dari kenghairahan umat Islam melakukan ibadat korban.

Tuntutan “afdhaliah” atau keutamaan dalam ibadat korban semakin diabaikan, katanya ramai yang mengambil mudah dengan menyerah kepada pihak lain untuk menyempurnakan ibadat korban bagi pihaknya.

“Maka sunnah melihat binatang korban disembelih, memakan daging korban, menjamu keluarga dan jiran dan merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat sudah hampir tidak wujud melalui syariah korban ini.

“Trend” melakukan korban ke serata pelusuk dunia atas semangat “membantu mereka yang tak pernah makan daging” juga semakin menghakis hikmat ibadat korban ini.

Di antara hikmah disunnahkan penyembelihan korban adalah menunjukkan kesyukuran atas berbagai-bagai nikmat kehidupan yang Allah kurniakan.

Selain menghidupkan sunnah Nabi Ibrahim sebagai bukti kecintaan dan ketaatan kepada Allah melebihi kecintaan kepada diri sendiri dan keluarga.

Dan menunjukkan pengorbanan kepada diri dan keluarga, memuliakan jiran tetamu dan bersedekah kepada fakir miskin.

Bagi mencapai hikmat tersebut, lalu disyariatkan amalan korban dengan menyembelih binatang ternakan yang baik (gemuk, cantik, tidak cacat dan sebagainya).

Merasai daging yang disembelih dengan menjamu keluarga, jiran dan sahabat yang bertamu serta bersedekah kepada orang miskin.