Malaysia Dateline

Terdapat 23 laporan pelanggaran peraturan pilihan raya sepanjang kempen, kata SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan terdapat 23 laporan berkaitan perlanggaran peraturan pilihan raya termasuk berkempen tanpa permit dan laporan pemberian hadiah dan tawaran membaiki rumah dalam Pilihan Raya Kecil (Dun) Semenyih.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat secara tepat dan lansung sebarang salah laku kempen pilihan raya boleh membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“SPR tiada fakta secara lansung dan kita tidak boleh membuat laporan.SPR mengeluarkan panduan dan akan memperingatkan semua calon dan parti politik mengikuti peraturan tersebut.

“Apabila terjadi insiden yang difikirkan melanggar kesalahan pilihan raya pihak yang mempunyai fakta secara lansung perlu melaporkan kepada pihak polis atau SPRM,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan di pusat mengundi di Dewan Serbaguna Batalion 4 PGA Semenyih hari ini.

Menurut Azhar Azizan lagi, laporan kepada polis dan SPRM itu penting bagi digunakan sebagai satu alasan untuk mencabar keputusan pilihan raya dalam petisyen pilihan raya kelak oleh mana-mana pihak yang kalah dalam pilihan raya diadakan.

Oleh itu katanya SPR tidak bersangkut paut dalam mana-mana pelanggaran peraturan pilihan raya kerana tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat atau memanggil dan melihat mana-mana dokumen secara lansung oleh pengadu.

Katanya lagi, proses kesalahan pilihan raya sama seperti proses perlakuan jenayah, ujarnya, sesiapa yang mempunyai maklumat atau bukti boleh membuat laporan kepada polis atau SPRM.

“Ini kerana ia (kesalahan pilihan raya) melanggar undang-undang negara sama seperti undang-undang jenayah yang lain. Sesiapa yang berfikir sekiranya berlaku pelanggaran pilihan raya sila buat laporan,” ujarnya ketika ditanya sama ada SPR tidak mempunyai kuasa untuk membuat laporan terus kepada pihak polis atau SPRM.

Bagaimanapun beliau menerangkan sekiranya mana-mana pegawai SPR melihat berlaku perlanggaran pilihan raya tindakan awal adalah dengan memberhentikannya  daripada terus dilakukan oleh mana-mana calon atau parti politik.

“Kuasa bagi pegawai Penguatkuasa SPR jika mereka nampak (pelanggaran peraturan pilihan raya) mereka akan minta berhenti. Kalau dia (calon atau parti politik) tidak berhenti pegawai SPR akan mengambil keterangan dan akan buat laporan.

“Kita ada buat laporan polis berkaitan ceramah tanpa permit dan salahguna logo SPR kerana kita ada fakta (bukti) langsung jadi kita buat laporan.

“Tetapi laporan mengenai pemberian Hamper dan baiki rumah sudah dibuat laporan oleh pihak yang mempunyai fakta langsung kejadian itu berlaku,” ujarnya.

Beliau berkata, pemantauan mana-mana aktiviti yang difikirkan melanggar peraturan dan undang-undang adalah tugas semua pihak.

Baru-baru ini Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memuat naik sekeping foto yang menunjukkan jentera kempen piilihan raya Pakatan Harapan (PH) di Semenyih mengedarkan hamper dan surat rawaran baik pulih rumah kepada pengundi.