Malaysia Dateline

Terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam perdagangan Malaysia-Rusia

Terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam perdagangan dua hala antara Malaysia dan Rusia, yang berjumlah US$2.2 bilion pada 2016, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya.

Beliau berkata perdagangan dua hala antara kedua-dua negara boleh dipertingkatkan dengan mempelbagaikan portfolio dan prospek industri termasuk tenaga, perubatan, penerbangan dan aeroangkasa serta produk dan perkhidmatan berkaitan IT.

“Kerjasama dalam industri dengan nilai tambah tinggi adalah kaedah terbaik,” katanya dalam ucapan pada pembukaan persidangan serantau mengenai “A Changing Asia in a Transforming World” di sini hari ini.

Rusia kini mengeksport teknologi pertahanan ke negara-negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Marzuki berkata negara-negara di Asia Tenggara pada umumnya tidak memberi perhatian yang mencukupi kepada hubungannya di benua Eurasia.

“Kelihatan terdapat pengaruh maritim tentang bagaimana kita mengutamakan hubungan kita. Selama beberapa dekad, tumpuannya untuk mewujudkan kerjasama yang lebih baik antara negara-negara di Lembangan Pasifik. Baru-baru ini, perspektif itu telah diperluaskan dengan melibatkan negara-negara di sekitar Lautan Hindi,” katanya.

Berdasarkan persekitaran geopolitik dan geoekonomi semasa, Marzuki menegaskan keperluan untuk menghalakan pandangan rantau ini kepada Rusia dan negara-negara Asia Tengah.

“Jarak dari segi geografi menyumbang ini kepada tahap tertentu. Bagaimanapun, kita perlu mengakui bahawa masih banyak yang boleh kita raih daripada hubungan rapat dengan Rusia,” katanya.

Marzuki berkata hasrat Rusia untuk membangunkan hubungan yang erat dengan rantau Timur Jauh memberi Moscow langkah lebih baik untuk melibatkan negara-negara utama di Asia Timur termasuk ASEAN.

“Terdapat banyak peluang yang kita boleh bangunkan dalam bidang sosio ekonomi dan budaya. Terdapat juga saluran dalam isu politik dan keselamatan yang boleh kita laksanakan. Sehubungan itu, kini merupakan masa yang baik bagi pelan untuk meningkatkan hubungan ASEAN-Rusia kepada kerjasama strategik,” katanya.

Persidangan serantau selama dua hari yang berakhir esok merupakan anjuran bersama kumpulan pemikir Valdai Discussion Club yang berpangkalan di Moscow dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia.

— BERNAMA