Terdesak nak bayar hutang ah long punya pasal, lelaki nekad bakar mesin ATM

Oleh KIM SYAZIE

Gara-gara membuat pinjaman duit yang banyak dengan sindiket peminjam wang ‘ah long’, seorang lelaki bertindak membakar dan cuba menebuk mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Menerusi rakaman litar tertutup (CCTV), seorang lelaki berusia 25 tahun dilihat cuba menggunakan tong bahan api untuk menebuk lubang mesin ATM.

Kejadian difahamkan berlaku di salah sebuah bank di Wangsa Melawati pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, bagaimanapun, tindakan lelaki itu gagal.

Siasatan lanjut mendapati terdapat kesan terbakar pada mesin ATM tersebut dipercayai cubaan suspek untuk menebuk lubang bagi mengambil wang di dalamnmya.

Polis juga telah merampas barang kes seperti pakaian semasa kejadian, tong bahan api, serta kenderaan yang digunakan suspek.

“Rakaman CCTV memaparkan kelibat seorang suspek telah memasuki dan membakar mesin berkenaan menggunakan tong bahan api namun cubaannya gagal.

“Siasatan lanjut mendapati, suspek bertindak demikian kerana terdesak ekoran mempunyai hutang yang banyak dengan ah long dan ingin melangsaikannya dengan cara mudah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api) dan Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan (cuba curi). Suspek telah ditahan reman sehingga Jumaat ini,” katanya.