Terengganu ada lebih 32,000 ibu tunggal termasuk di bawah 20 tahun

Kemaman catat daerah paling ramai ibu tunggal di Terengganu – Gambar hiasan

Jumlah ibu tunggal di Terengganu kini mencecah 32,411 orang termasuk 28 daripadanya berumur bawah 20 tahun dan 2,010 orang pula berusia dalam lingkungan 21 hingga 30 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat mendedahkan angka itu ketika menjawab soalan tambahan Alias Harun (Pas-Rantau Abang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 semalam.

“Seramai 4,783 orang ibu tunggal pula berusia 31 hingga 40 tahun, 6,506 orang (41 hingga 50 tahun), 9,556 orang (51 hingga 60 tahun) dan 9,528 orang (61 tahun ke atas).

“Daerah Kemaman merekodkan bilangan tertinggi ibu tunggal dengan 5,279 orang diikuti Besut (4,768), Marang (4,305), Dungun (4,182), Kuala Terengganu (3,925), Kuala Nerus (3,658), Setiu (3,307) dan Hulu Terengganu (2,987),” katanya.

Bagaimanapun, Hanafiah tidak menjelaskan status wanita terbabit sama ada bercerai hidup atau mati.

Beliau berkata, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menggerakkan program Pinjaman Jaya Diri (PJD) dalam usaha membantu ibu tunggal membina kehidupan semula melalui perniagaan.

Katanya, peruntukan sebanyak RM474,000 telah dikeluarkan kepada 52 orang daripada mereka untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan terutama kecantikan, pakaian dan perusahaan makanan sehingga Jun lalu.

Sementara itu beliau memberitahu, Kompleks Ibu Tunggal di Cendering, Kuala Terengganu yang dibangunkan dengan kos RM4. 4 juta bertujuan memperkasakan lagi golongan itu menerusi empat fokus iaitu bimbingan ekonomi dan kemahiran, perundangan, kekeluargaan di samping kesihatan dan kemasyarakatan.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS