Terengganu akan kenal pasti industri baharu tarik pelabur

Terengganu akan kenal pasti industri baharu tarik pelabur

Kerajaan Negeri  Terengganu akan mengenal pasti   kawasan-kawasan industri baharu yang boleh menarik minat pelabur dari dalam dan luar negara ke negeri ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kawasan yang berdekatan dengan jaringan hubungan seperti lebuh raya dan perkhidmatan logistik diberi keutamaan untuk dibangunkan kerana ia antara tarikan kepada para pelabur.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri akan meneruskan hubungan baik dengan agensi-agensi pelaburan seperti Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) termasuk pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkait rapat dengan sektor industri seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina dan Dewan Perniagaan  India Muslim Terengganu.

“Ini juga dibincangkan dalam mesyuarat pertama ECERDC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 31 Okt lalu,” katanya ketika menggulung ucapan Belanjawan Negeri Terengganu 2019 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Ru Rendang itu turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang meneruskan projek menaik taraf  jambatan sedia ada di Dungun, Terengganu dan projek jalan raya Simpang Pulai – Lojing – Gua Musang – Kuala Berang, (Pakej 8) yang akan diteruskan dengan tender terbuka pada tahun depan.

Selain Enakmen Perbekalan 2019 yang diluluskan sebulat suara oleh anggota dewan, persidangan  hari keempat itu turut meluluskan tiga enakmen lain iaitu Enakmen Lambang-lambang, Nama-nama dan Gelaran-gelaran (mencegah salah guna)(pindaan) 2018, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Terengganu)(Pindaan) 2018 dan Enakmen Tanah Simpan Bagi Orang-orang Melayu (Pindaan) 2018.

Persidangan bersambung esok.