Terengganu alami krisis salah guna Islam

Terengganu alami krisis salah guna Islam

Isu salah guna atas nama Islam sudah mencapai tahap krisis seperti diakui perwakilan AMANAH Terengganu, Ustaz Roslan Ismail.

Menurutnya, krisis itu berlaku ekoran wujudnya kelompok yang menganggap mereka sahaja lebih Islam.

“Di Terengganu, kita terpaksa berhadapan orang yang membawa krisis ini berpunca akibat penyalahgunaan perkataan Islam.

“Mereka rasa kelompok dan parti mereka saja yang Islam, orang lain tidak.

“Apa yang mereka buat semuanya untuk Islam. Kita buat dapat pahala. Masuk parti lain tidak boleh dapat pahala. Ini yang berlaku,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Pidato Presiden sempena Konvensyen AMANAH Nasional di Alor Setar hari ini.

Menurutnya, situasi lebih buruk apabila penyalahgunaan label Islam itu memberi kesan apabila meresap ke semua segmen masyarakat.

“Salah guna (kata Islam) ini diucapkan oleh ustaz dan orang bukan ustaz yang memakai kopiah dan serban.

“Ia berlaku dalam kalangan masyarakat dan meresap kepada anak muda. Macam-macam perkataan (salah guna),” katanya.

Sehubungan itu, beliau bimbang sekiranya situasi memperalatkan label Islam terus berlaku di luar kawalan.

“Kita khuatir kalau tidak ditangani dengan betul, perkara ini boleh membawa krisis peperangan seperti berlaku di Asia Barat,” ujarnya.

Beliau selanjutnya yakin AMANAH bakal mempunyai masa depan cerah.

“Tahniah kepada Bang Mat (Presiden AMANAH, Mohamad Sabu) dan pimpinan menubuhkan AMANAH dan berjaya menarik keluar sebahagian besar ahli Pas.

“Parti kita suatu hari nanti akan berkembang dengan hebat seperti mana berlaku pada AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan Turki).

“Mereka (AKP) juga berhadapan seperti apa kita hadapi, ditohmah tapi lihatlah setelah bertahun-tahun.

“Ini tahun kedua kita AMANAH. Kalau 10, 50 tahun akan datang kita berjaya membina masyarakat Malaysia yang faham apa itu Islam yang dibawa Rasulullah.

“Saya minta kepimpinan AMANAH menjaga parti ini. Kita perlu nampak kesederhanaan, toleransi kita,” tambahnya lagi.

Konvensyen AMANAH menjelang PRU-14 ini menyaksikan kehadiran pimpinan Partai Persatuan Pembangunan (PPP) dari Indonesia sebagai pemerhati iaitu Indra Hakim dan Dato’ Zainol Ariffin H. Mohamad.

Sementara itu, Timbalan Speaker, Yuhaizad Abdullah juga mengumumkan tentang sumbangan air mineral Embun Cool kepada perwakilan dan pemerhati konvensyen.

Agihan sumbangan Pemuda AMANAH Nasional itu merupakan projek pilihan raya sayap parti tersebut.

CATEGORIES
TAGS