Terengganu bersedia mengikut jejak Perlis mengisytiharkan kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) sebagai sesat jika terdapat bukti kukuh yang mengaitkannya dengan unsur bertentangan daripada ajaran Islam sebenar.
Mufti Terengganu, Datuk Dr. Mohamad Sabri Harun berkata bahawa sebelum fatwa tersebut dikeluarkan, pihaknya akan mengikut prosedur yang telah ditetapkan dengan penuh teliti dan terperinci terlebih dahulu.
Jelasnya, prosedur tersebut akan dimulakan dengan muzakarah dan keputusan yang diperolehi kemudian akan dibawa ke negeri-negeri untuk ajaran berkenaan difatwakan sebagai sesat, lapor Kosmo.
“Biasanya Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan putuskan bahawa ajaran tersebut sesat selepas membuat penelitian menyeluruh.
“Proses seterusnya, barulah negeri (Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu) pula akan mengeluarkan fatwa berkenaan perkara tersebut,” katanya memetik laporan Kosmo.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabri turut memberitahu bahawa gerakan GISBH tidak begitu ketara di Terengganu malah belum ada aduan serius untuk dibawa ke fatwa peringkat negeri.
Walau bagaimanapun, pihaknya tetap memandang serius tentang isu melibatkan organisasi berkenaan di negeri Terengganu meskipun tiada sebarang aduan berat mengenainya yang diterima setakat ini.
Jelasnya buat masa ini, pemantauan sedang dilakukan dan pihaknya menunggu keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI sebelum fatwa GISBH sebagai ajaran sesat dikeluarkan Terengganu.
Terdahulu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran yang dibawa gerakan GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.
Keputusan jawatankuasa tersebut sekali gus menjadikan Perlis sebagai negeri yang pertama mengisytiharkan organisasi berkaitan produk Islam terkenal itu sebagai kumpulan ajaran sesat.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memaklumkan, fatwa dikeluarkan selepas menerima bukti meyakinkan untuk jawatankuasa berkenaan memutuskan bahawa organisasi berkenaan sesat.
Baca juga: Polis tahan anak pengasas kumpulan Al-Arqam, pemimpin kanan GISBH termasuk CEO