Malaysia Dateline

Terengganu City hilang kelayakan Liga Premier, PBSNT akur sebarang keputusan

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akur dengan sebarang keputusan dibuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) berhubung isu juara Piala FAM, Terengganu City (TCFC) yang hilang kelayakan daripada beraksi dalam Liga Premier musim depan.

Setiausaha Eksekutif PBSNT Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata sebagai ahli gabungan FAM, pihaknya mengambil maklum hanya FAM dan MFL yang berkuasa menentukan penglibatan pasukan dalam kejohanan anjuran mereka.

Justeru, beliau berkata pihaknya menafikan desas-desus yang mendakwa PBSNT berkomplot untuk tidak meluluskan TCFC beraksi di Liga Premier 2019 kerana ia di bawah bidang kuasa FAM dan MFL.

“PBSNT juga tidak pernah menghantar sebarang surat rayuan atau surat untuk tidak membenarkan TCFC bermain dalam Liga Premier 2019.

“PBSNT juga tidak pernah membuat sebarang pertuduhan atau tuntutan di atas isu kelewatan dan kegagalan pembayaran gaji kepada pemain ataupun lain-lain hal berkaitan urusan perbelanjaan TCFC kepada FAM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau, bagaimanapun berkata PBSNT ada beberapa kali menghubungi pihak TCFC melalui Setiausaha Kelab untuk memaklumkan keputusan FAM itu.

Timbalan Presiden FAM Datuk Yusoff Mahadi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) dalam satu kenyataan sebelum ini, berkata TCFC hilang kelayakan itu berikutan dua masalah, melibatkan tunggakan gaji yang berlarutan dan keengganan PBSNT memberi kelulusan pasukan bertaraf kelab itu beraksi untuk musim depan.

Untuk rekod, hutang TCFC yang ada dalam rekod PBSNT merangkumi insurans 2017, tunggakan dan pampasan gaji seorang pegawai dan beberapa pemain berjumlah RM868,736.

Mengulas lanjut, Mohd Syahrizan berkata setakat ini, PBSNT belum menerima surat berhubung TFC II dikekal atau ditawarkan untuk bermain dalam Liga Premier musim depan.

“Jika TFC II dibenarkan bermain di Liga Premier 2019, sememangnya boleh dipertimbangkan kerana TFC II berjaya menjuarai Piala Cabaran 2018 (CC 2018).

“Sebaliknya jika pasukan UKM FC atau pasukan lain yang menyertai CC 2018, maka pasukan itu layak dipertimbangkan untuk beraksi di Liga Premier 2019, itu bergantung kepada keputusan MFL tanpa ada sebarang campur tangan PBSNT,” katanya.

Sebagaimana sedia maklum, beliau berkata MFL sebelum ini pernah menurunkan kedudukan Felda United untuk beraksi dalam Liga Premier 2018 kerana masalah kewangan serta kegagalan mendapatkan lesen.

“Tiada niat atau komplot untuk tidak membenarkan TCFC beraksi di Liga Premier 2019, kerana ia di bawah bidang kuasa FAM dan MFL,” katanya.

— BERNAMA