Terengganu dijangka terima antara RM1.5 bilion hingga RM1.6 bilion, kata Menteri Besar

Terengganu dijangka terima antara RM1.5 bilion hingga RM1.6 bilion, kata Menteri Besar

Terengganu dijangka memperoleh wang tunai petroleum sekurang-kurangnya bernilai antara RM1.5 bilion hingga RM1.6 bilion untuk tahun 2019, kata Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata jumlah itu adalah berdasarkan harga minyak bagi tahun 2018.

Datuk Samsuri Mokhtar

“Selepas kunjungan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) ke Terengganu baru-baru ini, kita ada terima makluman daripada Kementerian Kewangan bahawa keputusan dasar telah dibuat oleh kabinet bahawa wang royalti tidak lagi menggunakan istilah wang royalti atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP), tetapi akan menggunakan istilah wang tunai petroleum yang akan dibayar terus kepada kerajaan negeri Terengganu.

“Itu adalah satu perkembagaan yang sangat menarik dan positif pada kita dan kita berterima kasih kepada kerajaan pusat yang telah mengiktiraf bahawa kerajaan negeri Terengganu berhak untuk menerima wang tunai royalti petroleum ini sebagaimana perjanjian 1974,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat anggota Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat)  hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri berharap Kementerian Kewangan dapat mempertimbangkan jumlah peratusan hutang yang perlu dibayar oleh kerajaan negeri kepada kerajaan pusat memandangkan makluman terbaharu pembayaran hutang itu diperoleh selepas Terengganu membentangkan Bajet 2019.

“Kita terima makluman daripada Kementerian Kewangan bahawa negeri Terengganu mempunyai hutang yang perlu dibayar dan ia sedikit sebanyak akan melibatkan pemotongan wang tunai petroleum itu untuk membayar hutang tersebut.

“Pemotongan bukanlah untuk membayar hutang sekali gus kerana ia akan dibayar secara berkala (sehingga habis) cuma kadar yang diminta kerajaan persekutuan itu agak tinggi bagi kerajaan negeri Terengganu dalam keadaan kita baru menyediakan Bajet 2019,” katanya.

Justeru, beliau berharap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dapat mempertimbangkan (semula) jumlah peratusan yang perlu dibayar dalam masa terdekat.  Tambahan pula, Terengganu adalah antara negeri yang merekodkan hutang terendah di negara ini.

“Oleh kerana itu, saya ambil keputusan untuk bertemu Perdana Menteri dan menyampaikan surat rayuan untuk dibuat penstrukturan semula pembayaran hutang tersebut.

“Kita sangat komited dan sangat telus dalam perbelanjaan (wang tunai petroleum), kalau timbul isu kebimbangan bagaimana ia dibelanjakan, kami sangat terbuka untuk diaudit dalam apa juga cara,” katanya yang enggan mendedahkan jumlah pembayaran hutang yang diminta oleh Kementerian Kewangan dan jumlah rayuan yang diminta oleh kerajaan negeri.

Untuk rekod, Terengganu masih menunggu baki bayaran wang tunai petroleum untuk tahun 2018 dianggarkan berjumlah antara RM200 juta hingga RM250 juta.- BERNAMA